Wednesday, 23 May 2018

Kerajaan Negeri Bantu Mangsa Kebakaran, Bina Dua Rumah Baharu

SHARE
Ahmad Samsuri bertanyakan sesuatu kepada mangsa kebakaran di Kampung Losong Haji Mat Shafie, Kuala Terengganu. Foto Oleh: Teengku Syamim Tengku Ismail

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan TDM Berhad dipertanggungjawabkan oleh kerajaan negeri membina dua buah rumah baharu untuk keluarga mangsa kebakaran di Kampung Losong Haji Mat Shafie, Kuala Terengganu yang hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka terbakar, malam tadi.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, hampir RM100,000 diperuntukkan bagi pembinaan dua buah rumah itu yang bakal disiapkan sebelum umat Islam menyambut hari raya Aidilfitri.

“Agensi kerajaan negeri iaitu Maidam dan juga anak syarikat kerajaan negeri TDM Berhad bertanggungjawab mendirikan balik rumah yang musnah dalam kebakaran ini.

“Kita mengharapkan supaya sekurang-kurangnya dalam masa dua minggu ini rumah-rumah ini mampu disiapkan dan mangka kebakaran boleh menjalani ibadah puasa di rumah baharu selepas ini dan menyambut hari raya puasa dalam keadaan yang lebih baik,’ ujarnya selepas menziarahi mangsa rumah terbakar di Kampung Losong Haji Mat Shafie, Kuala Terengganu, hari ini.


Turut sama dalam lawatan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Amzad Hashim.

Katanya, pihak Maidam akan memperuntukkan RM58,000 untuk pembinaan sebuah rumah manakala TDM Berhad dalam lingkungan RM40,000 untuk sebuah rumah lagi bagi meringankan beban keluarga tersebut.


“Kita turut mengalu-alukan bantuan daripada masyarakat untuk turut menyumbang supaya kita dapat menyiapkan dan melengkapkan lagi rumah itu dengan lebih baik.

“Pembinaan kedua-dua rumah ini juga akan dipantau dari semasa ke semasa supaya dapat disiapkan dalam tempoh yang kita jangkakan,” ujarnya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.15 malam tadi, dua rumah musnah dalam kebakaran itu, bagaimanapun kesemua lima belas mangsa termasuk warga emas 73 tahun berjaya menyelamatkan diri.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: