Saturday, 26 May 2018

Kelek JB Prihatin Sedia Juadah Sahur Petugas Malam

SHARE
Adun Ajil, Maliaman Kassim menyampaikan sumbangan juadah untuk bersahur kepada kakitangan Hospital Hulu Terengganu sempena Program Singgah Sahur anjuran Kelek JB semalam

Di saat orang lain lena dibuai mimpi, ada insan-insan yang sedang gigih melaksanakan tanggungjawab demi menjaga kesejahteraan masyarakat pada waktu malam 'petugas malam'.

Bagi mengenang jasa dan pengorbanan itu sekumpulan anak muda daripada Kelab Eksplorasi Jerangau Barat (Kelek JB) yang aktif dalam aktiviti luar  menyediakan juadah untuk bersahur.

Presidennya, Mohamad Hanif Mat Rasat berkata, program ini dilaksanakan bagi menyantuni warga hospital yang terdiri dari para doktor, warga perubatan, jururawat dan pegawai keselamatan yang bertugas sepanjang malam di wad.

"Mungkin pada masa kita tidur nyenyak dan lena dibuai mimpi, wira-wira inilah yang bertugas dan memastikan kesemuanya berjalan lancar demi menjaga kesihatan masyarakat.

"Kebanyakan warga staf yang bekerja syif malam pada bulan Ramadan akan bersahur secara ala kadar kerana mereka perlu menjaga pesakit sepanjang masa bertugas.

"Sumbangan sekecil ini sedikit sebanyak diharap dapat memberi keceriaan dan membuatkan mereka berasa dihargai serta sentiasa diingati kerana merekalah sebenarnya wira yang menjaga kita tanpa mengira masa," katanya kepada pemberita selepas Program Ziarah Sahur Muhibah Ramadan Anjuran Kelek JB, di Hospital Hulu Terengganu, malam tadi.

Majlis penyerahan sumbangan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim.

Salina Zainal Abidin

Bagi Jururawat U29, Salina Zainal Abidin, 30, yang bekerja syif malam pada  Ramadan akan bersahur secara ala kadar kerana mereka perlu menjaga pesakit sepanjang masa bertugas.

"Memang seronok tengok ada yang masih mengambil berat, prihatin dan sedar tentang kami yang tidak pulang ke rumah dan bersahur bersama keluarga," katanya.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: