Wednesday, 30 May 2018

Kehadiran MB Meriahkan Tradisi Kelab WDI Masak Bubur Lambuk

SHARE

Program memasak bubur lambuk anjuran Kelab Wisma Darul Iman (WDI) bertambah meriah dengan kehadiran pemimpin nombor satu negeri yang turun padang menyertai aktiviti menyediakan 17 kawah hidangan itu, pagi ini.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar meluangkan masa kira-kira  30 minit bersama lebih 200 pegawai dan kakitangan bergotong-royong memasak dan menyiapkan masakan sempena sambutan Ramadan di perkarangan WDI, bermula jam 9 pagi.

Turut serta, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya dan barisan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri.

Sementara itu, penyelaras program, Mohd Sophian Abu Bakar berkata, kakitangan mula membuat persiapan memasak pada jam 8 pagi dan selesai kira-kira empat jam kemudian sebelum diagihkan secara percuma kepada kira-kira 1,200 kakitangan WDI.


"Sebanyak 17 kawah bubur lambuk dimasak termasuk satu kawah sumbangan Adabi (Consumer Industries Sdn Bhd). Pertama kali syarikat korporat menyertai program seumpama ini di samping mempromosikan produk keluaran mereka kepada kakitangan.

"Sebanyak 2,400 bubur dipaketkan untuk diagihkan kepada sesama kakitangan, manakala 600 paket lagi diedarkan secara percuma kepada pengguna jalan raya di depan Wisma Darul Iman bermula jam 2 petang," katanya kepada Teganukita, hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Bahagian (Khidmat Pengurusan) berkata, sambutan baik dan komitmen yang diberikan pertugas sejak program ini diperkenalkan tahun lalu menyebabkan kelab itu memutuskan untuk meneruskan program yang sama buat kali kedua dan akan dijadikan sebagai acara tahunan pada masa akan datang.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: