Monday, 9 April 2018

Urusan Seterusnya Serah Kepada SPR

SHARE
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Zubir Embong menyerahkan watikah pembubaran DUN kepada Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya Negeri Terengganu, Nik Andy Suwardi Amry selepas sidang media khas pengiystiharan pembubaran DUN Terengganu oleh Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman di Wisma Darul Iman, hari ini. Foto Oleh: Harish Fadzillah Abu Kassim

Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu secara rasminya dibubarkan selaras dengan Peruntukan di bawah Perkara 44 (2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman, berkuat kuasa hari ini.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Zubir Embong berkata, bermula hari ini sehingga kerajaan baharu yang akan dilantik selepas pilihan raya nanti, semua fungsi kerajaan sementara akan mengambil tanggungjawabnya sepertimana di dalam Perkara 43 (1) Perlembagaan Persekutuan.


“Setelah DUN dibubarkan, mengikut Perkara 44(4) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman, maka hendaklah diadakan pilihan raya umum dalam masa 60 hari dari tarikh pembubaran DUN iaitu dalam tempoh masa 9 Jun 2018.

“Mengikut Perkara 44(4) Para Dua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman juga, DUN yang baharu hendaklah dipanggil mesyuarat pada satu tarikh tidak lewat 90 hari daripada tarikh pembubaran,” ujarnya kepada pemberita selepas pengisytiharan pembubaran DUN Terengganu oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman di Wisma Darul Iman, hari ini.


Katanya, tarikh terakhir DUN mesti bermesyuarat selepas DUN dibubarkan secara rasmi ialah pada 9 Julai 2018.

“Dengan pengisytiharan pembubaran DUN ini, urusan selanjutnya terletak kepada bidang kuasa pihak Suruhanjaya Pilihan Raya untuk melaksanakan proses pilihanraya umum,” ujarnya.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: