Wednesday, 11 April 2018

Serikandi Jelajah Bantu 32,161 Ibu Tunggal Seluruh Terengganu

SHARE
Halina menyampaikan bantuan kepada seorang ibu tunggal dengan disaksikan Mohd Nor  (empat dari kanan) dan Shafaruddin (tiga dari kanan) serta barisan Ahli Jawatankuasa Serikandi sempena Program Jelajah Cakna Ibu Tunggal Bersama Serikandi Terengganu 2018 di SMK Bukit Payong, Marang. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail
Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Negeri Terengganu (Serikandi) mensasarkan untuk menjelajah ke 32 Dewan Undangan Negeri bagi menemui kira-kira 32,161 ibu tunggal di seluruh Terengganu sepanjang tahun ini.

Program jelajah dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) bertujuan meringankan bebanan golongan itu menerusi bantuan wang tunai RM200 serta barangan keperluan dapur bernilai RM100 kepada setiap ibu tunggal yang berdaftar.

Terbaharu, program siri kedua itu menjelajah ke DUN Bukit Payong, Marang untuk meraikan 900 ibu tunggal selepas program perintis di Telemong, Hulu Terengganu, baru-baru ini.

Yang Dipertuanya, To' Puan Seri Halina Zakaria berkata, usaha turun padang mendekati golongan yang perlu diberi perhatian itu menjadi keutamaan Serikandi dan akan sentiasa dilaksanakan sebagai wadah mendekati mereka yang memerlukan pembelaan dari semasa ke semasa.


"Program seumpamanya ini adalah siri jelajah yang kedua, pertama kita berjaya menjayakannya di DUN Telemong.

"Serikandi akan memastikan semua ibu tunggal akan diraikan. Selepas ini kita akan ke lokasi (DUN) berikutnya iaitu di Pengkalan Berangan, diikuti Jabi  serta Wakaf Mempelam dan juga DUN-DUN lain sehingga selesai semuanya sepanjang tahun ini,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Program Jelajah Cakna Ibu Tunggal bersama Serikandi Terengganu 2018 di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Payong, Bukit Payong, Parlimen Marang, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Penyelaras DUN Bukit Payong, Mohd Nor Endot dan Pengarah YPKT, Mohd Shafaruddin Mustaffa.

Halina berkata, pihaknya akan memastikan bantuan itu sampai kepada penerima yang layak di setiap DUN termasuk pasukan petugas menghantar bantuan ke rumah penerima yang uzur.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: