Sunday, 15 April 2018

Sasar Tambah 100 Peladang Muda Kuala Berang Pada 2018

SHARE

Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Berang mensasarkan pertambahan 100 orang peladang muda dalam industri pertanian, penternakan dan perladangan pada tahun ini.

Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Hulu Terengganu, Dato' Seri Jailani Johari berkata, penglibatan lebih ramai peladang muda dapat memberi impak kepada perubahan dan penambahbaikan dari aspek teknologi yang baru dan pembangunan infrastruktur yang lebih efisyen.

"Daripada jumlah keahlian 3,282 orang ahli hanya 311 orang atau 9.5 peratus peladang muda yang berumur bawah 40 tahun yang telah berdaftar.

"Maka usaha-usaha berterusan pihak Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Berang perlulah konsisten dan berterusan untuk menambahkan lagi bilangan peladang muda selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan sektor pertanian kini sebagai sektor utama di dalam menjana pendapatan ekonomi negara," katanya.

Jailani yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu berkata demikian ketika merasmikan Program Muafakat Peladang di Dewan Komuniti Kuala Berang, Hulu Terengganu, hari ini.

Katanya lagi, sektor pertanian kini bukan sahaja dikehendaki menyumbang kepada keperluan pengeluaran bahan makanan negara, malahan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara pengeksport utama makanan atau ‘a food exporting country’ di masa hadapan.

"Para peladang, penternak dan nelayan harus lebih inovatif, meningkatkan kepakaran dan berusaha dengan lebih gigih merebut peluang-peluang pelaburan dalam sektor pertanian yang kian berkembang.

"Kita di Hulu Terengganu ini juga mempunyai produk yang berpotensi untuk dipasarkan ke peringkat yang lebih global.

"Sebagai contoh buah duku dan jagung yang terdapat di daerah ini boleh dipasarkan di negara luar namun perlu mendapatkan kaedah pemasaran serta pemprosesan yang terbaik, " katanya lagi.

Pada majlis yang sama, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) turut menyampaikan zakat perniagaan bernilai RM35,000 kepada 200 ahli yang layak, serta penyampaian tabung pendidikan kepada anak ahli yang memperolehi keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.

Seramai 40 peserta e-Kasih turut menerima sumbangan atau dividen e-Kasih berjumlah RM8,000 hasil Projek Ternakan Ikan Sangkar di Sungai Como yang diketuai oleh Jabatan Perikanan.


SHARE

Author: verified_user

0 komen: