Thursday, 12 April 2018

RM452 Juta Untuk Biayai 36,022 Usahawan IKS

SHARE
Zubir merasmikan Majlis Anugerah Usahawan Terengganu 2018. Tengku Syamim Tengku Ismail 


Sejumlah RM452  juta pembiayaan perniagaan diperuntukkan kepada 36,022  usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Terengganu  sepanjang tahun lalu.
Manakala pemberian geran pembangunan usahawan  RM34.5 juta melibatkan 1,134 usahawan IKS, mengadakan 489 program latihan kepada 36,783 usahawan dan 262 program promosi  melibatkan 19,733 usahawan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata peruntukan yang diagih melalui Majlis Sekretariat Pembangunan Usahawan Terengganu (MSPUT) itu semata-mata mahu memartabatkan bidang keusahawanan sebagai satu kerjaya pilihan dikalangan masyarakat.

Katanya, tidak wajar pengukuran kejayaan seseorang seseorang usahawan hanya dinilai daripada sudut kewangan dan keuntungan perniagaan semata-mata.

“Malah perlu dinilai daripada  aspek kecemerlangan berkaitan mengurus tadbir syarikat dan membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Zubir Embong pada Majlis Anugerah Usahawan Terengganu 2018, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, malam tadi.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, Nawi Mohamad; Ketua Eksekutif SME Corp, Datuk Dr. Hafsah Hashim; CEO Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu, Rozali Salleh dan Pengarah SME Corp. negeri, Muhammad Ibrahim.

Pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Upstream Downstream Process & Services (UDPS) Sdn. Bhd., Ahmad Kamarolaili Abu dinobatkan sebagai Usahawan Berprestasi Tinggi Terbaik dalam Majlis Anugerah Usahawan Terengganu (AUT) 2018.

Kemenangan tersebut membolehkan beliau yang juga Pengarah Urusan UPDS membawa pulang geran Program Peningkatan Perusahaan Kecil dan Sederhana Bumiputera (BEEP) bernilai RM500,000.

Di samping beliau turut memperoleh pembiayaan pembangunan produk berjumlah RM5,000 dan promosi (RM3,500) bagi merangsang pertumbuhan syarikat penyedia perkhidmatan minyak  dan gas beroperasi di Kemaman itu.

Syarikat rempah-ratus di bawah jenama Bunga Ros, Hassan Majid Sdn. Bhd. pula menerima anugerah Kategori Halal dan Standard manakala Kategori Promosi dan Pemasaran Produk dimenangi oleh MGV Industries Sdn. Bhd., Abdul Salikin Ambak dari ASA Frozen Food & Marketing (Usahawan Baru), Norhaiza Nordin (Kraf Warisan) dan Rokiah Mohd. Koyakutty (Groom Big).


SHARE

Author: verified_user

0 komen: