Thursday, 19 April 2018

PRU14 : Wan Nawawi Calon BN Parlimen Kuala Terengganu

SHARE

Wan Nawawi menyempurnakan `punch card' terakhir beliau sebagai penjawat awam, di Pejabat SUK, Wisma Darul Iman. Foto oleh Harish Fadzillah Abu Kassim
Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail,61, hari ini mengesahkan bakal bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu (P036) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.

Pengumuman beliau itu dibuat sejurus pertemuan dengan pegawai dan kakitangan di Pejabat SUK, Wisma Darul Iman, pagi tadi sebelum beliau mengetip kad perakam waktu yang terakhir sebagai  simbolik menamatkan perkhidmatan sebagai penjawat awam kira-kira jam 12.45 tengahari ini.

Keputusan beliau itu juga menjawab segala persoalan sebelum ini mengenai  sejauh mana kesediaan beliau bertanding pada PRU kali ini.

Menurutnya, keputusan menamatkan perkhidmatan lebih awal selepas 37 tahun berkhidmatan dalam pentadbiran negeri dianggap sebagai ketentuan dan anugerah Allah SWT yang sudah diatur dalam kehidupannya.

“Saya pastinya berasa sedih kerana sudah 37 tahun dalam perkhidmatan awam dan banyak kenangan pahit manis, liku-liku yang dilalui sepanjang berkhidmat dan semuanya menjadi pengalaman berguna untuk dilalui dalam tempoh akan datang.

“Berkhidmat sebagai penjawat awam memberi saya kepuasan yang tidak terhingga. Sudah pasti dunia yang akan saya dilalui selepas ini berbeza, tetapi sedikit sebanyak saya sudahpun melalui kehidupan sebagai ahli politik kerana saya sudah terlibat dengan politik dalam jangka masa agak lama agak lama..saya telah terlibat dalam Pergerakan Pemuda UMNO, Bahagian dan sebagainya serta pengendalian pilihan raya sejak berkhidmat sebagai penjawat awam,”katanya kepada  pemberita selepas menyempurnakan `Punch Card' terakhir di Pejabat SUK, Tingkat 15, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu. 

Wan Nawawi menjelaskan Allah SWT sudah menentukan takdir perjalanannya untuk terus berkhidmat kepada orang ramai walaupun selepas bersara sebagai pegawai tertinggi pentadbiran awam dan beliau sudah pun bersedia ke arah itu.

Beliau sebelum ini dalam satu majlis semalam, mengumumkan untuk menamatkan perkhidmatan sebagai SUK pada akhir Jun ini, bagaimanapun memilih menamatkannya lebih awal.

Wan Nawawi yang dilantik sebagai SUK pada 3 Ogos 2016 dan memegang jawatan Pengerusi TDM sejak 29 Ogos 2017, memulakan perkhidmatan dalam pentadbiran negeri sebagai Pegawai Tadbir Negeri di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Terengganu pada 1 Julai 1981.



SHARE

Author: verified_user

0 komen: