Monday, 23 April 2018

PRU14 : Wakaf Mempelam Kian Membiru

SHARE
Salleh
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (PPD) Wakaf Mempelam, Salleh Othman optimis mampu menarik lebih ramai pengundi di DUN itu untuk menyokong Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Katanya,  pengalaman sejak 1982 berkecimpung dan berkhidmat dalam dunia politik sebelum dilantik sebagai PPD sejak empat tahun lalu memberinya kelebihan untuk memahami landskap politik di kawasan yang sudah sekian lama dikuasai pembangkang itu.

"Saya positif dengan situasi politik masa kini dan dapat melihat penerimaan pengundi terhadap BN kian baik di Kuala Terengganu termasuk di DUN Wakaf Mempelam.

"Malah, di DUN Wakaf Mempelam juga kita merekodkan sejumlah 10,611 pengundi yang menyokong BN. Jadi kita sasarkan 1,000 lagi golongan atas pagar dapat menyertai kita dan menambah sokongan sedia ada sekali gus memastikan kemenangan pada 9 Mei ini,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Pengumuman Calon-Calon BN Terengganu oleh Pengerusi BN Negeri Terengganu, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman, di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Salleh memberitahu, reaksi positif dan penerimaan ramai itu diperolehi hasil pertemuan dan lawatan jentera BN ke rumah-rumah di kebanyakan cawangan sejak kebelakangan ini termasuk penerimaan ahli Pas sendiri.

Tambah beliau lagi, penguasaan pembangkang juga kian merosot apabila mereka sudahpun berpecah dua, sekali gus menjadi antara kelebihan yang akan memihak kepada BN.

Menurut Salleh, jika diukur pertembungan satu lawan satu BN dengan Pas sebelum ini, BN  pernah merekodkan kekalahan dengan majoriti 600 undi.

"Rekod satu lawan satu (BN-Pas) dilihat kita sama-sama kuat. Jika lebih dari 1,000 majoriti undi (kalah) itu mungkin wujud masalah dalaman. Alhamdulillah ini semua tidak berlaku setakat ini.

"Kita berharap  proses dan perjalanan PRU ini lancar dan tiada protes dalaman. Malah, saya melihat kesatuan dan muafakat di kalangan jentera parti dan akar umbi bagi membuat sebarang keputusan untuk kebaikan bersama juga satu senario yang positif, "katanya.

Kata beliau lagi, penduduk di DUN itu juga tidak seharusnya menoleh ke belakang lagi dan keluar menunaikan tanggungjawab pada 9 Mei ini dengan memilih BN supaya mandat yang dizahirkan dapat membawa lebih banyak pembangunan dan projek kesejahteraan rakyat.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: