Thursday, 19 April 2018

PRU14: Teruskan Legasi Kecemerlangan Arwah Dato’ Razali - Wan Nawawi

SHARE
Wan Nawawi mengaminkan doa selepas menyempurnakan `punch card' terakhir beliau sebagai penjawat awam, di Pejabat SUK, Wisma Darul Iman. Foto oleh Harish Fadzillah Abu Kassim

Bakal calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Terengganu, Wan Nawawi Wan Ismail optimis mahu meneruskan legasi kecemerlangan yang ditinggalkan bekas Ahli Parlimen itu Allahyarham Dato’ Razali Ismail, jika diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Wan Nawawi,61, telah berkhidmat sebagai penjawat awam selama 37 tahun dengan jawatan terakhir sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) berkata, beliau yakin mampu menyambung legasi yang ditinggalkan oleh tokoh pemimpin hebat dalam bidang pendidikan itu dengan cara tersendiri.

“Secara jujur, saya tidak dapat membandingkan diri saya dengan arwah Dato’ Razali kerana beliau berada di kelas yang tersendiri dan saya berada di kelas saya sendiri.

“Jika beliau hebat dalam bidang pendidikan mungkin saya lebih dalam perkhidmatan awam. Misal kata, jika diukur pencapaian semasa berkhidmat sebagai  penjawat awam, saya telah mendapat beberapa pengiktirafan di peringkat negeri mahupun kebangsaan termasuk mengendalikan sukan dan sebagainya.

“Saya juga mempunyai rekod yang agak baik sebagai penjawat awam sehingga mampu menjawat jawatan tertinggi peringkat negeri dan hubungan rapat sesama penjawat awam turut membantu saya dan memudahkan saya melaksanakan tugas,” ujarnya kepada pemberita selepas menyempurnakan `Punch Card' terakhir di Pejabat SUK, Tingkat 15, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.


Wan Nawawi yang dilantik sebagai SUK pada 3 Ogos 2016 dan memegang jawatan Pengerusi TDM sejak 29 Ogos 2017, memulakan perkhidmatan dalam pentadbiran negeri sebagai Pegawai Tadbir Negeri di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Terengganu pada 1 Julai 1981.

Katanya, dengan kelebihan dan aura tersendiri yang ada pada dirinya, beliau yakin berupaya untuk memberi khidmat kepada rakyat sekiranya terpilih memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

“Saya akan cuba sebaik mungkin untuk memberikan perkhidmatan terbaik, kalau tidak mampu menyamai sebagaimana yang diberikan oleh arwah Dato’ Razali, sekurang-kurangnya saya mencapai taraf yang terbaik bagi diri saya sendiri,” ujarnya.

Beliau juga berharap pengundi di Parlimen Kuala Terengganu membuat pilihan yang tepat untuk memilih calon yang boleh membantu mereka dan membawa suara mereka kepada kepimpinan Pusat untuk direalisasikan.

“Saya akan sentiasa berpesan kepada pengundi Kuala Terengganu, jangan memilih saya secara membabi buta, sekiranya saya calon yang terbaik seharusnya mereka mengundi saya dan berilah peluang kepada saya untuk meneruskan khidmat bakti sebagai wakil rakyat,” ujarnya.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: