Monday, 16 April 2018

PRU14 : PPBM Umum Calon Di Tiga Parlimen, Lapan DUN

SHARE
Razali (lima dari kanan) bersama calon-calon PPBM yang akan bertanding pada PRU14

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Terengganu mempertaruhkan pengerusinya, Dato' Razali Idris, 52, sebagai calon Parlimen Hulu Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

PPBM yang dibubarkan buat sementara itu mendahului rakan parti dalam pakatan pembangkang apabila mengumumkan kesemua calonnya yang akan bertanding pada PRU14 kecuali dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dengan pengumuman itu bermakna  PPBM akan bertanding di 10 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tiga daripada lapan kerusi Parlimen di Terengganu.

Razali berkata, pemilihan merupakan calon-calon berkaliber dan menepati citarasa rakyat bagi mencipta kejayaan dalam PRU14.

"Mereka adalah muka baharu dan tidak mempunyai pengalaman dalam dunia politik dan kita yakin boleh menang di kerusi yang dipertandingkan.

"Calon-calon terdiri dari kalangan profesional termasuk jurutera, doktor, ahli perniagaan selain bekas pegawai tadbir negeri," katanya kepada pemberita selepas pengumuman calon di pejabat PPBM negeri, Bukit Perpat, Ajil, Hulu Terengganu, malam tadi.

Dua lagi calon Parlimen ialah Dato' Ir. Wan Nazari Wan Jusoh (Besut) dan Dato' Dr Mohd Faudzi Musa (Setiu).

Calon PPBM lain yang diketengahkan bagi kerusi DUN ialah Che Ku Hashim Che Ku Mat (Kuala Besut), Ismail Abdul Kadir (Hulu Besut), Wan Hafizie Suzlie Wan Hassan (Tepuh), Dato' Zulkifli Mohamad (Ladang), Aidi Ahmad (Pengkalan Berangan), Zamani Mamat (Ajil), Mohamad Arif Arifin (Bukit Besi) dan Dato' Wan Marzuki Wan Sembok (Kijal).

Namun dua kerusi DUN iaitu Langkap dan Batu Rakit masih belum dapat diisi calonnya disebabkan pihaknya masih meneliti kelayakan calon yang dijangka akan selesai dalam tempoh terdekat.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: