Tuesday, 24 April 2018

PRU14 : Jangan Pilih Wakil Rakyat `Chipsmore'

SHARE
Mohd Sabri bergambar dengan sekumpulan guru selepas merasmikan sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Daerah Kuala Terengganu, di Wisma Darul Iman. Foto oleh Harish Fadzillah Abu Kassim


Pengundi di Kuala Terengganu diminta supaya tidak mengulangi kesilapan memilih wakil rakyat seperti biskut `Chipsmore.' 

Pegawai Penyelaras DUN Ladang, Dato' Mohd Sabri Alwi berkata, pemimpin berkenaan bersikap tidak amanah untuk memperjuangkan nasib rakyat kerana sering meninggalkan kawasan sedangkan mereka  dipilih supaya sentiasa bersedia berkhidmat dan turun padang menemui rakyat pada bila-bila masa sahaja.

Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang berkata, kegagalan berada di kawasan sepenuh masa itu juga menyebabkan rakyat kehilangan tempat untuk merujuk dan menyelesaikan isu setempat. 



"Kita hanya minta penduduk Kuala Terengganu termasuk di DUN Ladang menilai semula wakil rakyat yang layak mereka pilih bagi meneruskan mandat menjaga kebajikan dan kesejahteraan hidup mereka.

"Walaupun (BN) tewas sebelum ini, kita tetap bekerja dan turun padang bagi memastikan nasib rakyat tetap terbela. Jadi, kita minta rakyat membuat pilihan terbaik dan `wi gok sekali' pada kali ini (PRU14) sahaja,"kata beliau ketika berucap di hadapan lebih 1,000 warga pendidik sempena sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Daerah Kuala Terengganu, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.


Turut hadir, mantan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail yang juga calon BN Parlimen Kuala Terengganu dan calon BN Batu Buruk, Zamri Awang Hitam, calon BN Wakaf Mempelam, Salleh Othman dan calon BN Manir, Yusof Awang Hitam

Sabri juga memberitahu, beliau sentiasa mengingatkan penduduk bahawa jawatan sebagai wakil rakyat bergelar `YB' (Yang Berhormat) bukan diutamakan beliau, sebaliknya YB yang dipraktikkan beliau sejak sahulu lagi adalah sebagai `yang berkhidmat'.

"Kita tidak mahu menjadi YB kerana mahu bergelar Yang Berhormat kerana pemimpin dan jentera BN sudah lama bekerja, mendekati rakyat dan turun bantu rakyat tanpa mengira masa dan di mana-mana sahaja.


"Oleh itu, jika rakyat memberi mandat dan memilih DUN Ladang kembali kepada BN saya pastinya akan kekal sebagai YB, yang berkhidmat, kerana itu adalah keutamaannya dan prinsip perjuangan saya,"katanya.

Dalam pada itu, Sabri juga menghargai peranan warga pendidik yang sudah banyak berkorban demi melahirkan modal insan kelas pertama yang unggul dan cemerlang.

Menurutnya lagi, golongan itu juga menjadi ejen yang memainkan peranan utama bagi merealisasikan aspirasi negara dan membentuk generasi pemimpin yang dapat meneruskan kesinambungan pembangunan negeri serta negara yang diiktiraf di peringkat dunia.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: