Sunday, 22 April 2018

PRU14 : Calon Otai Kuala Berang Kekal

SHARE
Tengku Putera

Calon otai, Dato' Tengku Putera Tengku Awang kembali mewarnai persada politik negeri apabila diumumkan mempertahankan kerusi bagi calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Beliau sebelum ini merupakan penyandang DUN Kuala Berang pada PRU13 yang lalu, mengalahkan calon PAS, Muhyidin Rashid dengan majoriti 449.

Tengku Putera berkata, pencalonan kembali namanya dalam senarai PRU14 dianggap sebagai satu rezeki yang tidak diduga dan pastinya menjadi kelangsungan untuk terus berkhidmat kepada rakyat di DUN berkenaan.

"Saya sangat terharu dengan kepercayaan yang diberikan bagi memastikan kemenangan DUN Kuala Berang terus kekal kepada BN.

"Saya akan perjuangkan untuk pastikan BN tetap bertapak di Kuala Berang walaupun kita tahu ianya agak kritikal pada PRU13 tapi saya tetap akan pastikan kemenangan berpihak kepada BN dengan agenda kerajaan pusat dan negeri yang sentiasa perjuangkan pembangunan untuk rakyat," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas pengumuman calon BN di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu hari ini.


Tengku Putera turut berazam akan meneruskan perjuangan dan mengalas tanggungjawab yang diamanahkan oleh pucuk pimpinan sebaik mungkin selain tidak akan mensia-siakan harapan rakyat bagi melihat Kuala Berang terus membangun.

"Jangan sesekali kita belot, harus menangkan perjuangan kita untuk Kuala Berang, negeri seterusnya untuk Kerajaan Pusat...terimalah segala yang diputuskan dengan hati yang terbuka, kita akan menang dengan kekuatan jentera yang ada.

"Isu-isu yang pembangkang cuba timbulkan seperti masalah perumahan di Padang Setengga dan pembinaan hotel di kawasan masjid (Kuala Berang)  tidak akan menjejaskan pengundi kerana ianya sudah hampir diselesaikan,"katanya.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: