Sunday, 22 April 2018

PRU14 : BN Mampu Tawan Parlimen Dungun

SHARE
Berita oleh: Izzwan  Ahmad
Din
Barisan Nasional (BN) menzahirkan keyakinan mampu merampas kembali kerusi P039, Parlimen Dungun dari tangan pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

Calon bagi kerusi tersebut, Dato' Din Adam berkata, kepercayaan yang diberi oleh pucuk kepimpinan tertinggi parti dilihat sebagai penghormatan tertinggi kepadanya dalam membawa perubahan di dalam daerah Dungun.

"Kepercayaan yang diberi adalah dilihat sebagai satu keyakinan bahawa kita mampu untuk  membawa kepada perubahan dan pembangunan di daerah ini.

"Politik itu berteraskan kepada pembangunan. Politik itu berteraskan kepada masa depan. Jadi rakyat memahami bahawa hanya BN yang mampu membawa ke arah tersebut,"katanya ketika ditemui selepas pengumuman calon oleh Pengerusi BN Negeri, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman, di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Din berkata, apa yang telah dijanjikan dalam manifesto sebelum ini sudahpun ditunaikan dan ianya bukanlah sesuatu janji kosong sepertimana yang dilakukan oleh pihak pembangkang.

 "Ini membuktikan bahawa kita  BN serius untuk membawa perubahan dan pembangunan kepada rakyat dalam memastikan mereka merasai satu kehidupan yang lebih baik " katanya.

Beliau juga yakin pola pemikiran masyarakat di Daerah Dungun sudah berubah untuk memberikan kepercayaan kepada BN untuk memerintah dan membawa pembangunan kepada mereka.

"Kita lihat di empat DUN iaitu di Bukit Besi, Rantau Abang, Paka dan Sura sudah mula menampakkan keyakinan kepada BN untuk mentadbir dan ianya akan direalisasikan dalam pilihan raya kali ini," katanya.


Kerusi Parlimen Dungun pada pilihan raya lepas dimenangi oleh Pas, iaitu Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli yang menewaskan calon BN, Dato Rosli Mat Hassan.

Katanya lagi, dengan slogan `Sepadu ' yang sering digunakan dapat meniupkan semboyan jentera parti untuk merampas kembali kerusi parlimen yang dipegang oleh Pas.





SHARE

Author: verified_user

0 komen: