Kerajaan negeri optimis projek-projek berskala besar khususnya untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyat negeri ini akan siap sepenuhnya tahun hadapan.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman
berkata, walaupun berdepan dengan kekangan sumber kewangan ianya tidak
menghalang perlaksanaan projek pembangunan di negeri ini.
“Walaupun Terengganu mengalami masalah kekurangan pendapatan
yang diperolehi, tetapi alhamdulillah banyak projek-projek yang telah selesai.
“Saya jangkakan dalam tahun depan kita dapat
selesaikan projek-projek besar dan selepas itu barulah kita ada keupayaan untuk
membina projek-projek baru,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas
merasmikan Menyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Negeri
Terengganu kali Ke-42 di Hotel Grand Puteri, Kuala Terengganu, hari ini.
Turut hadir, Yang Dipertua PKMM Negeri Terengganu,
Dato’ Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri.
Ahmad Razif berkata, fokus kerajaan negeri adalah
untuk menyelesaikan projek-projek sedia ada sebelum memberi laluan kepada
projek baru.
Dalam majlis itu, beliau turut menyatakan komitmen
untuk membantu PKMM Negeri Terengganu terutama memastikan persatuan itu bergerak lebih aktif
sekali gus bersama-sama kerajaan negeri membangunkan Terengganu.
“Saya harap selepas ini pihak persatuan dapat
berbincang lebih teliti dengan pihak Unit
Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bagaimana
kita dapat membantu kontraktor Melayu tempatan kita ini melalui projek-projek
akan datang,” ujarnya.
0 komen: