Tuesday, 10 April 2018

Polis Pantau 1,131 Individu Berpotensi Timbulkan Kekecohan PRU14

SHARE
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun ketika berucap di Majlis Apresiasi dan Penyampaian Sumbangan Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) Sempena Peringatan Hari Polis Ke-211 yang disempurnakan Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu hari ini. Foto Oleh: Tengku Syamim Tengku Ismail
Polis telah mengenal pasti 1,131 individu di seluruh negara yang berpotensi menimbulkan kekecohan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dimana gerak geri mereka sedang diperhatikan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, daripada jumlah itu, seramai 31 individu 'pengacau politik' dikesan di Terengganu.

"Kita bukan nak timbulkan ketakutan atau nak mengugut sesiapa, tetapi kita nak pastikan mereka yang berpotensi menimbulkan masalah pada PRU nanti dipantau.

"Polis akan bertindak berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada kerana kita tak boleh buat perkara ini sewenang-wenangnya dan setiap individu ini memang dah disenaraikan menerusi risikan kita," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Apresiasi dan Penyampaian Sumbangan Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) Sempena Peringatan Hari Polis Ke-211 yang disempurnakan Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Zubir Embong dan Ketua Polis Terengganu, Dato’ Aidi Ismail.

Katanya, tindakan terhadap mereka yang menimbulkan kekecohan diambil sekiranya keadaan mendesak.

Mengulas lanjut, Mohamad Fuzi berkata, polis juga memantau rapi 171 kawasan panas seluruh negara dikenal pasti sepanjang PRU-14.

"Kita akan kerahkan lebih 70,000 kekuatan untuk ditugaskan sepanjang pilihan raya dan sekiranya masih tidak mencukupi, kita akan tambah termasuk pasukan simpanan dan pelatih," katanya.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri yang bukan saja mengambil berat kebajikan anggota dan pegawai yang bertugas di negeri ini, malah turut sama membantu mengurangkan kadar jenayah dengan menyediakan pelbagai program terutama untuk golongan muda termasuk pembinaan litar lumba untuk ‘mat rempit’.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: