Tuesday, 17 April 2018

Pesara Perlu Sokong Kerajaan

SHARE


Rakyat Terengganu termasuk pesara kerajaan diminta supaya tidak menyokong mana-mana parti baharu yang berteraskan kepentingan peribadi selain dilihat mahu membalas dendam akibat dipinggirkan daripada parti lama semata-mata.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, sejarah membuktikan setiap parti serpihan tidak mampu bertahan lama kerana konsep perjuangan mereka lebih berfokus kepada kekecewaan tanpa hala tuju jelas.

"Setakat ini hanya UMNO dan Barisan Nasional (BN) berjaya kekal sejak sekian lama kerana kita ada prinsip perjuangan yang jelas.

"Saya yakin parti serpihan tidak akan dipilih majoriti rakyat kecuali dalam kalangan mereka yang kecundang dan kecewa semata-mata,” katanya yang juga Menteri Besar

Beliau berkata demikian pada Majlis Tautan Kasih Pesara Kerajaan Malaysia Negeri Terengganu, di Permai Hotel, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Kelab UMNO Pesara Kanan Kerajaan Malaysia (KUPKKM), Dato’ Muhatar Abdullah.

Ahmad Razif turut memberitahu apabila gendang pilihan raya dipalu, golongan pesara diingatkan supaya membuat keputusan yang tepat bagi memilih kerajaan yang bukan sahaja mampu membela nasib dan kebajikan golongan pesara malah menghargai jasa mereka.

“Hanya Kerajaan BN yang dilihat mampu memberikan kebaikan secara menyeluruh iaitu bukan sahaja nasib golongan pesara terbela tetapi ahli keluarga dan generasi akan datang juga akan memperoleh faedah dalam pelbagai bentuk seperti bantuan kewangan dan persekolahan,” katanya.





SHARE

Author: verified_user

0 komen: