Monday, 23 April 2018

PRU14: Pengundi Kuala Terengganu Perlu Bijak Buat Pilihan

SHARE
Wan Nawawi berkata sesuatu kepada Zamri ketika menghadiri Program Jelajah Cakna Ibu Tunggal Bersama Serikandi DUN Batu Burok yang telah disempurnakan oleh Yang DiPertua Serikandi To’ Puan Seri Halina Zakaria di Terengganu Equestrian Resort (TER), hari ini. Foto Oleh: Tengku Syamim Tengku Ismail

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Terengganu, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail menyeru pengundi membuat keputusan yang bijak dengan memilih wakil rakyat yang benar-benar berkaliber pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini.

Beliau yang juga Mantan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) berkata, kuasa kira-kira 104,000 pengundi akan menentukan individu yang bakal menjadi wakil rakyat parlimen tersebut bagi memastikan agenda pembangunan rakyat di kawasan itu dapat diteruskan.

 “Terserah kepada rakyat buat pilihan. Jangan undi saya kerana terpaksa, saya mahu semua orang dapat keberkatan.  InsyaAllah, bersandarkan keberkatan saya dapat laksanakan tugas dengan baik. Jangan lari dari apa yang diajar oleh al-Quran.

“Biarlah pengundi yang menentukannya. Pengundi perlu memilih calon yang benar-benar layak. Apa yang pernah saya lakukan selama ini ketika berkhidmatan dalam pentadbiran negeri akan saya praktikkan dalam dunia politik sekiranya saya diberi mandat pada pilihan raya kali ini,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Program Jelajah Cakna Ibu Tunggal Bersama Serikandi DUN Batu Burok yang telah disempurnakan oleh Yang DiPertua Serikandi To’ Puan Seri Halina Zakaria di Terengganu Equestrian Resort (TER), hari ini.

Turut hadir, Pegawai Penyelaras DUN Batu Burok, Zamri Awang Hitam yang juga calon BN DUN Batu Burok.

Katanya, beliau juga berharap pengundi di Parlimen Kuala Terengganu membuat pilihan yang tepat untuk memilih calon yang boleh membantu mereka dan membawa suara mereka kepada kepimpinan Pusat untuk direalisasikan.

Wan Nawawi mula dilantik ke jawatan tertinggi pentadbiran negeri pada 3 Ogos 2016 dan perkhidmatannya berakhir pada Ogos tahun lalu kemudian disambung selama setahun.

Beliau menamatkan perkhidmatannya sebagai SUK iaitu empat bulan lebih awal dari tarikh asal untuk menumpukan kepada gerak kerja sebagai calon BN Kuala Terengganu bagi menghadapi PRU14.

Lulusan Sains Sosial Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Oklahoma, Amerika Syarikat itu pernah menjadi Pegawai Daerah Kuala Terengganu dan Setiu di samping Penolong Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri dan Pengurus Besar Yayasan Pembangunan Usahawan dan Pegawai Kewangan negeri.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: