Sunday, 22 April 2018

Kerajaan Negeri Terima RM57.1 Juta Dari UniSZA

SHARE
Pengerusi Lembaga Pengarah UniSZA, Dato’ Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin telah menyempurnakan penyerahan ‘Mock Cheque’ RM57.1 Juta kepada Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman di TH Hotel, hari ini

Kerajaan negeri menerima RM57,118,118 daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bagi pembayaran dua lot tanah yang merupakan sebahagian daripada Kampus Gong Badak.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, bayaran tersebut adalah tuntutan pampasan oleh Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan susulan penyerahan Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) kepada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

“Bayaran yang diterima hari ini adalah sebahagian daripada jumlah keseluruhan RM183 juta yang dituntut kerajaan negeri sebaik KUSZA diserahkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Tahun lalu, UniSZA telah membuat bayaran sebanyak RM71 juta kepada kerajaan negeri,” ujarnya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan ‘Mock Cheque’ Bayaran Dua Lot Tanah UniSZA Kampus Gong Badak Kepada Kerajaan Negeri di TH Hotel, hari ini.


Pengerusi Lembaga Pengarah UniSZA, Dato’ Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin telah menyempurnakan penyerahan ‘Mock Cheque’ kepada Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Penyerahan tersebut turut disaksikan oleh Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ A. Rahman Yahya, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Dato’ Tengku Farouk Hussin Tengku Abdul Jalil dan Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Zubaidi Abdul Latif.

Ahmad Razif berkata, bayaran tanah tersebut turut membolehkan UniSZA membangunkan kampus sesuai dengan kehendak dan aspirasi semasa demi kepentingan dan kemajuan fizikal dan modal insan rakyat Terengganu khususnya.

“Bayaran yang dibuat ini termasuklah tapak tanah Hospital Pengajar UniSZA setinggi enam tingkat yang sedang dalam pembinaan yang dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2020,” ujarnya.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: