Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu (YT) membelanjakan sebanyak RM358,300 untuk Anugerah Pingat Emas dan hadiah kecemerlangan kepada 499 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Agama Malaysia (STAM) 2017.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, ganjaran
tersebut sebagai menghargai dan mengiktiraf kecemerlangan pelajar dalam bidang
akademik.
“Diharap inisiatif ini akan menjadi
motivasi untuk mereka terus meraih pencapaian cemerlang sekaligus mengangkat
nama negeri Terengganu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Kita
mahu anak-anak Terengganu berani mencabar kelaziman dan mencipta lebih banyak
cerita kejayaan,” ujarnya.
Beliau
berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Pingat
Emas Yayasan Terengganu kali ke-39 Dan Hadiah Kecemerlangan SPM, STPM dan STAM
2017 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.
Turut
hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Dato’ Mohd
Zubir Embong, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan
Transformasi Kerajaan Negeri A. Latiff Awang, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’
Wan Nawawi Wan Ismail, Pengarah Yayasan Terengganu Ishamudin Hashim dan
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu Shafruddin Ali Hussin.
Pada majlis itu, dua pelajar telah terpilih sebagai penerima
Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu iaitu Muhammad Khairul Azri Mohd Khalid
daripada Sekolah Menengah Imtiaz YT Besut dan Muhammad Syauqellah Razali
daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malek.
Kedua-duanya yang merupakan pelajar terbaik negeri ini menerima insentif
wang tunai RM5,000, sebuah medal pingat emas, sehelai blazer, sebuah laptop dan
sijil penghargaan.
Sementara itu seorang pelajar menerima Anugerah Khas YT
iaitu pelajar kelainan upaya Ahmad Izzat Sohame@Suhaimi daripada
Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Telemong yang menerima wang tunai RM2,000
beserta sebuah laptop.
Antara anugerah lain yang turut diberikan adalah Anugerah Pelajar
Cemerlang SPM 2017 (Semua A+) kepada dua penerima yang mendapat RM500 dan
laptop, Anugerah Pelajar Terbaik STAM 2017 kepada dua penerima yang memperoleh
RM600 serta laptop dan Anugerah Kecemerlangan SPM 2017 (Semua A) kepada 357
penerima yang mendapat RM500 setiap seorang.
Selain itu tiga lagi kategori penghargaan juga diberikan iaitu Anugerah
Kecemerlangan STPM 2017 2017 (Semua A) kepada 100 orang yang mendapat RM600
setiap seorang, Anugerah Kecemerlangan STAM 2017 (Mumtaz) kepada 26 orang yang
meraih RM600 setiap seorang dan Anugerah Sekolah Terbaik kepada sembilan
sekolah yang masing-masing menerima RM10,000.
0 komen: