Wednesday, 18 April 2018

Jangan Fikir Soal Ganjaran - SUK

SHARE
Nawawi bersama penjawat awam pada Perhimpunan Bulanan Warga Wisma Darul Iman. Tengku Syamim Tengku Ismail


Penjawat awam di negeri ini diingatkan  supaya tidak terlalu memikirkan soal ganjaran, termasuk jumlah pendapatan bulanan sebaliknya perlu  mencari kepuasan kerja apabila ditempatkan di mana-mana organisasi.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail, berkata pendekatan itu dengan sendirinya akan melahirkan keikhlasan dalam melaksanakan setiap tugasan yang dipertanggungjawabkan.



Katanya, oleh itu, suka dia berpesan kepada pengantinya kelak agar memastikan setiap penjawat awam perlu berfikiran terbuka,  kreatif, inovatif dan sentiasa berada di hadapan untuk menolong dan memberi perkhidmatan terbaik  kepada pelanggan.

“Pada masa sama kita juga perlu mewujudkan suasana budaya kerja yang positif, produktif dan komited bersama pasukan kerja masing-masing.

“Maka akan lahirlah kepuasan kerja, saya sendiri pun mengambil pendekatan ke arah itu selain sedaya upaya mencapai sasaran kerja pada tahap maksimum setiap kali mengambil alih tugas baru,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas berucap di hadapan warga Wisma darul Iman sempena Perhimpunan Bulanan Warga Kerja Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.


Pada majlis itu, seramai 15 penjawat awam dari pelbagai jabatan menerima anugerah pekerja cemerlang bagi Januari sehingga Mac.

Antara penerimanya, Anida Mohamed @Abd Ghani dari Unit Komunikasi Negeri Terengganu; Norlida Mohamed (Pejabat Perbendaharaan Negeri Terengganu) ; Abdul Aziz Embong (Pejabat Pengarah dan Tanah Galian Terengganu); Mohd Jamadil Akhir Samaah (Unit Perancang Ekonomi) dan Suhairi Muhammad (Unit Audit Dalam).   

Menurut Nawawi lagi, perhimpunan yang dihadirinya pada pagi ini dijadualkan sebagai  yang terakhir berikutan beliau akan bercuti panjang bermula 1 Jun depan, sebelum bersara wajib berkuatkuasa akhir Jun nanti.

“Sebelum mengakhiri tugasan sebagai Setiusaha Kerajaan Negeri, saya mahu berpesan kepada semua penjawat awam agar menjalankan tugas sebaik mungkin, perlu mencipta pembaharuan dan kejayaan sepanjang tempoh bertugas agar boleh dijadikan kenangan abadi apabila bersara kelak,”katanya.



SHARE

Author: verified_user

0 komen: