Wednesday, 4 April 2018

Hotline Mudahsokmo

SHARE

Apabila adik iparnya de­ngan nada keterujaan memberitahu telah mene­rima surat tawaran melanjutkan pengajian di Sekolah Sukan Bukit Jalil, sewaktu dia singgah menjenguk mentua di Padang Muar dekat sini, Khalilah Mustafa, 26, mulai beransur dijentik kesayuan.

Khalilah membayangkan hari-hari yang bakal dilalui Nur Hidayah Che Ibrahim, 13, kelak jika emak mentua dan keluarga tidak dapat memenuhi keinginan ke sekolah impiannya itu kerana kekangan kewangan untuk membiayai keperluan awal termasuk urusan pemergiannya.

“Kakak Nur Hidayah juga berpeluang memasuki sebuah kolej vokasional dan perlukan persiapan. Saya dan suami rasa buntu, tak dapat membantu secukupnya kerana pendapatan suami yang bekerja di sebuah bengkel motor di Chalok sekadar menampung keperluan harian keluarga dan tiada simpanan.

“Saya tahu sebenarnya dia sedih bila emak kata, kalau susah tak payah pergi. Tapi saya lebih sedih kerana tak mahu dia kecewa. Saya tahu dia boleh bantu ubah kehidupan dirinya dan ke­luarga kelak,” ujar suri rumah dan ibu kepada tiga orang anak itu tentang adik bongsu suaminya.

Emak mentuanya, Rusni Ashaari, 50, bergantung hidup dengan hasil menoreh di kebun warisan arwah suami yang meninggal pada pertengahan tahun lalu setelah terlantar akibat angin ahmar sejak 2015.

Daripada sumber itulah mentuanya menampung sedikit sebanyak keperluan bagi kakak Nur Hidayah yang kini berada di Kolej Vokasional di Kuala Terengganu dan abangnya di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Khalilah ketika ditemui menceritakan tentang runtunan perasaannya sepanjang Disember tahun lalu apabila mengenangnya nasib adik iparnya, sehingga sukar melelapkan mata, namun dia perlu melakukan sesuatu, biarpun rasa cukup berat.

“Suatu malam saya melayari internet dan terlintas paparan Hotline Mudahsokmo Pejabat Menteri Besar. Saya WhatsApp kira-kira pukul 1 pagi menyatakan kesempitan untuk menghantar adik ke sekolah dan siangnya, saya mendapat balasan.

“Sangat melegakan dari situ banyak sumber yang disediakan oleh kerajaan yang boleh membantu tetapi yang kami tidak sedari. Apatah lagi Hidayah layak mendapat bantuan persediaan di bawah peruntukan kerajaan negeri dan segala urusan dipercepatkan,” ujar Khalilah.

Begitu juga bagi kakaknya, Syafikah Umirah, 16, yang baru melanjutkan pengajian turut layak menerimanya di bawah Yayasan Terengganu, di samping peruntukan Majlis Agama dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) malah dia dan suaminya juga turut dilorongkan bagi mendapatkan bantuan dalam bidang keusahawanan.

Ditemani emak, kakak, Khalilah, anak-anak dan suami, mereka menyewa kereta untuk menghantar Nur Hidayah, atlet bola jaring negeri bawah 12 tahun negeri itu ke Sekolah Sukan Bukit Jalil Januari lalu bagi menyempurnakan impiannya.

Sejak dilancarkan pada 17 November tahun lalu, Hotline Mudahsokmo kendalian Unit Aduan Rasmi Pejabat Menteri Besar di bawah fasilitator Dr. Wan Ashaari Wan Ismail menerima purata 60 aduan sebulan.

Kira-kira 70 peratus berkait dengan kesulitan peribadi, juga permasalahan keluarga, dan Khalilah merupakan antara pengadunya manakala selebihnya yang menyentuh permasalahan setempat melibatkan kepentingan umum.

Berdasarkan aduan, tinjauan dilakukan pendekatan ziarah kasih ke penempatan pengadu atau melalui Sahabat Online di daerah dan Sahabat NGO sebelum langkah susulan dibuat melalui tindakan oleh jabatan-jabatan dan agensi yang mempunyai kaitan untuk membantu menyelesai atau menanganinya.

Melalui hotline 24 jam ini, fokus pentadbiran kerajaan negeri dalam menawarkan perkhidmatan kepada rakyat dapat dipertingkatkan selari dengan prinsip Inklusif Suara Rakyat Suara Keramat dalam Transformasi Terengganu Baharu.

Dengan khidmat ini turut membantu kerajaan mendapat dan menyalurkan maklumat kepada pihak yang bertangungjawab dengan berkesan di samping membantu kerajaan mengenal pasti isu-isu semasa  dan kritikal dalam kehidupan rakyat.

"Saya sangat berterima kasih kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif  kerana melalui talian ini telah membantu melancarkan perjalanan pembelajaran adik-adik, malah kami sendiri. Juga kepada pengendali hotline yang membimbing menunjukkan jalan dan wakil-wakil rakyat yang juga tampil membantu.

"Kalau boleh, saya ingin menemui dan mengucapkan sendiri di depan Menteri Besar. Semoga dia terus pimpin negeri, boleh terus membantu orang macam kami. Mungkin bagi sesetengah orang masalah ini kecil.

" Tetapi cukup besar bagi kami  ketika dalam keadaan amat tersepit. Dan kami tidak minta lebih daripada itu,"ujar Khalilah yang berhasrat menceburi diri dalam perniagaan untuk membantu memantap lagi kehidupan keluarga . - UTUSAN ONLINE

SHARE

Author: verified_user

0 komen: