Saturday, 21 April 2018

Hab Digital Terengganu Dibuka Mulai 1 Mei

SHARE

Mohd Serigar mencuba kemudahan yang terdapat di TD 1303. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail

Kerajaan negeri memperkenalkan Hab Digital Terengganu, TD1303 bagi membolehkan rakyat terutama golongan muda di negeri  ini memanfaatkan kelebihan teknologi dalam pelbagai bidang terutama keusahawanan dalam talian.

Projek direncana di bawah Program Transformasi Ekonomi Terengganu (TETP), TD1303 yang terletak di jalan Sultan Zainal Abidin bakal dibuka kepada orang ramai bermula 1 Mei ini.

TD 1303  sebagai pusat sehenti itu adalah projek perintis semenanjung.

Dilengkapi pelbagai kemudahan moden, antaranya menyediakan ruang kerja, bilik seminar, memperkenalkan inisiatif komunikasi, kandungan, infrastruktur teknologi baharu yang turut direncana untuk menarik tumpuan lebih ramai pelabur ke negeri ini.

Prapelancaran TD1303 itu disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd Serigar  Abdullah di sini, petang ini.

 Projek usahasama kerajaan negeri dan Persekutuan itu melibatkan peruntukan sebanyak RM12 juta.

Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif Unit Transfomasi negeri, Datuk Wan Mohd AlBakri Wan Md Noor.

Menurut Dr. Mohd Serigar, TD1303 menawarkan pelbagai kemudahan perkhidmatan termasuk yang ingin mengembangkan perniagaan dengan jalinan kerjasama antara agensi awam dan swasta.

Katanya, ia dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan utiliti seperti internet berkelajuan tinggi, ruang penyimpanan fail yang selamat dan pusat kawalan yang canggih.

"Selain itu ia turut memberi ruang kepada aktiviti seni kreatif dan kebudayaan, pembuatan seni kraf tempatan elemen digital, sukan dan rekreaksi di samping ruang kerja bersama  dalam usaha memperkasakan usahawan.

"TD1303 membawa simbolik tahun yang tercatat di Batu Bersurat Terengganu, berkonsepkan santai dan moden, merupakan salah satu insiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaaan (NBOS)," katanya.

Kadar ruang kerja bebas yang disediakan dikenakan sewaan hanya RM10 sehari dan RM150 sebulan, selain ruang tetap sebanyak RM200 sebulan dan ruang kerja peribadi sehingga RM800 sebulan.

Oleh itu katanya, golongan muda terutama belia atau penuntut universiti perlu mengambil peluang untuk  meningkatkan kemahiran keusahawanan sehingga mampu menerobos pasaran luar negara. -
SHARE

Author: verified_user

0 komen: