Wednesday, 4 April 2018

Gabung NGO, Wakil Rakyat Hangatkan Persidangan DUN Muda

SHARE
Mohd Zubir menyampaikan sijil kepada pembahas terbaik pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN ) Muda Persatuan Pandu Puteri di Wisma Darul Iman, hari ini. Foto Oleh: Harish Fadzillah

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Zubir Embong mencadangkan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Muda mengabungkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan wakil-wakil rakyat.

Beliau berkata, persidangan yang memberi pendedahan  mengenai perjalanan DUN  yang sebenar kepada golongan belia dan pengalaman berperanan sebagai wakil rakyat itu perlu melibatkan ahli persidangan DUN bagi menghangatkan lagi persidangan dewan.

“Sebagai contoh, kita gabungkan Persatuan Pandu Puteri, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), belia dan sebagainya dengan orang muda dan beberapa ahli Yang Berhormat sebenar dalam dewan itu untuk kita adakan pendebatan yang lagi hebat,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN ) Muda Persatuan Pandu Puteri di Wisma Darul Iman, hari ini.

Katanya, selain memberikan pendedahan dan gambaran sebenar kepada golongan belia mengenai perjalanan dan prosedur sidang dewan, persidangan itu juga berupaya melatih dan memberikan pendedahan kepada mereka adab dan peraturan ketika persidangan dewan berlangsung.

“Belia-belia yang mengambil bahagian kali ini cukup bersedia dan mereka adalah yang terbaik di kalangan yang terbaik. Mereka petah berbicara, berbahas dengan cukup baik dan adab juga dijaga.

“Inilah yang kita mahu, generasi muda akan datang yang bukan sahaja mempunyai kewibawaan bercakap, beradap, tetapi jati diri yang kuat sayangkan agama, bangsa dan negara,” ujarnya.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: