Tuesday, 17 April 2018

Bantuan Serikandi Berterusan - Halina

SHARE


Bantuan keperluan dapur dan wang tunai berjumlah RM300 kepada setiap ibu tunggal menerusi Program Jelajah Cakna Ibu Tunggal Bersama Serikandi (Badan Amal Dan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Terengganu) ke seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) sejak awal bulan ini hanya aktiviti sampingan badan itu di samping pelbagai program turun padang yang lain kepada golongan sasar.

Yang Dipertuanya, To’ Puan Seri Halina Zakaria berkata, program menerusi kerjasama Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Syarikat Air Terengganu (Satu ) dan Terengganu Incorporated (TI) itu bukan dilaksanakan kerana negara bakal berdepan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini, sebaliknya sudah menjadi tradisi sejak sekian lama.



Program jelajah yang pertama di DUN Telemong, diikuti Bukit Payong (11 April), Jabi (15 April) dan Wakaf Mempelam (17 April) serta Parlimen Kuala Nerus (Seberang Takir, Bukit Tunggal, Tepuh dan Buluh Gading) di Stadium Tertutup Gong Badak pada 20 April serta diikuti seluruh DUN lain sepanjang tahun ini.

“Bantuan sumbangan wang tunai RM200 dan barangan dapur (RM100) ini diharap sedikit-sebanyak akan meringankan beban penerima di kalangan ibu tunggal. 

“Program ini baru sahaja kita buat (perintis) di  DUN Telemong pada 3 April lalu dan kita menyasarkan untuk menyampaikannya di seluruh Terengganu kepada 32,000 ibu tunggal dan ianya akan berterusan sehingga habis (32 DUN) bukan kerana pilihan raya. Jika sampai tarikh PRU (9 Mei) memang tidak sempat kerana banyak lagi (DUN) yang kita hendak pergi,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan di Program Jelajah Cakna Ibu Tunggal bersama Serikandi Terengganu 2018 di Bangunan Pejabat DUN Wakaf Mempelam, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Penyelaras DUN Wakaf Mempelam, Salleh Othman dan Pengarah YPKT, Mohd Shafaruddin Mustaffa.

Di majlis itu, kerajaan negeri juga menyampaikan bantuan pengurusan RM5,000 kepada Kelab Ibu Tunggal DUN Wakaf Mempelam.    

Dalam pada itu, Halina berharap semua golongan ibu tunggal yang sudah banyak menikmati faedah dan manfaat menerusi bantuan yang disediakan kerajaan negeri akan sentiasa menyokong kerajaan demi memastikan nasib mereka sentiasa terbela.

Hasnah
Seorang penerima, Hasnah Ngah, 58, dari Kampung Losong Haji Long, berkata dia sangat terharu dengan sumbangan yang mampu meringankan beban mereka sebagai ibu tunggal bagi menyara kehidupan seharian selepas kehilangan ketua keluarga.

"Terima kasih kepada isteri wakil rakyat Barisan Nasional (BN) kita sebab melaksanakan program ini. Ianya sedikit sebanyak dapat membantu menampung perbelanjaan harian. Terima kasih banyak-banyak,"katanya.

Hitam
Bagi seorang lagi penerima bantuan itu, Hitam Ismail, 74, dari Kampung Kubang Parit pula berasa bertuah dan sangat bernasib baik kerana tidak pernah terpinggir daripada menerima bantuan daripada kerajaan serta pelbagai agensi lain termasuk Serikandi.

"Walaupun berniaga dan memperolehi pendapatan sendiri bagi menyara keluarga selepas kematian suami, pemimpin setempat tidak pernah lupa orang seperti mak cik, selepas menjadi ibu tunggal. Wakil rakyat BN yang ada hari ini sentiasa tolong kita. Syukur sangat,"katanya lagi. 

Seorang lagi penerima, Hasmah Mohamad,51 dari Kampung Paloh Sekolah pula berkata dia yang bergelar ibu tunggal sejak 20 tahun lalu bersama keluarga tidak pernah terlepas daripada menerima bantuan daripada kerajaan khusus bagi membantu golongan tidak berkemampuan seperti mereka.

Hasmah 
"Bantuan hari ini sangat bermakna kepada saya. Alhamdulillah apa sahaja bantuan sampai kepada saya, walaupun saya tinggal dengan mak sekali pun. Bantuan baiki rumah, baiki dapur dahulu rumah kayu tukar kepada batu, JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung) juga melawat ibu saya bertanya  khabar kesihatannya dan dia berjanji membantu mengikut kemampuannya,"katanya. 
  

SHARE

Author: verified_user

0 komen: