Saturday, 14 April 2018

Bangunan Baharu LKPI Marang Bukti Kerajaan Prihatin Golongan Hawa

SHARE

A.Latiff ketika berucap sebagai merasmikan majlis pecah tanah bangunan Lembaga Kebajikan Perempuan Islam (LKPI) Marang.

Kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM1.8 juta untuk pembinaan bangunan baharu Lembaga Kebajikan Perempuan Islam (LKPI) Daerah Marang, yang bakal siap dalam tempoh setahun dari sekarang.

Bangunan dua tingkat dilengkapi pejabat, bilik mesyuarat dan dewan serbaguna  akan memberi manfaat kepada ahli-ahlinya untuk bergerak aktif dan mengembangkan taraf sosio ekonomi bagi mengubah landskap kehidupan ke arah yang lebih baik.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A.Latiff Awang berkata, kerajaan tidak pernah mengabaikan kebajikan dan keperluan rakyat terutama wanita yang sentiasa mahu membantu menyara dan mengubah taraf kehidupan keluarga terutama apabila hilang tempat bergantung.

"YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman sentiasa cakna dan memberikan peruntukan yang besar untuk pembangunan negeri termasuk menjaga kebajikan golongan wanita khususnya ibu tunggal.

"Kerajaan bukan sekadar membangunkan fiskal, tetapi juga kepada pembangunan kerohanian seperti pendidikan dan pembangunan keluarga. Sebab itu, Terengganu sentiasa menjadi yang terbaik dalam pendidikan di Malaysia," katanya yang hadir merasmikan majlis pecah tanah pembinaan bangunan LKPI Daerah Marang, di Binjai Rendah, Marang, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil- wakil Rakyat (Serikandi) Terengganu, To' Puan Seri Halina Zakaria, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Berhad (Satu), Atemin Sulong dan Pengarah Kementerian Perdagangan dan Koperasi Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri, Saharuddin Mohd Kia.

Hadir sama, Ketua Wanita UMNO Bahagian Marang merangkap Pengerusi LKPI Marang, To'Puan Zaitun Mat Amin. 

Di majlis itu juga turut disampaikan sumbangan berjumlah RM450,000 berupa wang tunai dan barang keperluan dapur kepada 1,500 ibu tunggal di DUN Pengkalan Berangan.

Bantuan di lokasi ketiga dalam siri Jelajah Cakna Ibu Tunggal Serikandi itu sebagai antara usaha kerajaan negeri bagi meringankan bebanan kira-kira 32,000 ibu tunggal yang berdaftar menerusi Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT).





SHARE

Author: verified_user

0 komen: