AmanahRaya Negeri Terengganu menganjurkan Ceramah Perancangan dan Pengurusan Harta (Faraid, Hibbah, Wakaf, Sedekah dan Nazar) bertempat di Masjid Haji Abdul Rahman Limbong, Hulu Terengganu, semalam.
Pengurus
Kanan Wilayah Timur AmanahRaya, Tuan Noraizan Tuan Long berkata, program
julung kali diadakan untuk menyedarkan kepentingan penyelesaian dan pengurusan
harta pusaka itu mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.
“Kira-kira 200 orang mengikuti ceramah yang berfungsi sebagai wadah untuk masyarakat
menimba ilmu berkaitan hal perancangan dan pengurusan harta pusaka,” ujarnya
ketika dihubungi Teganukita, hari ini.
Tuan
Noraizan berkata, selain mendedahkan peserta program mengenai pengetahuan
mendalam isu-isu dan cabaran yang timbul daripada harta terutama yang berkaitan
dengan harta pusaka orang Islam, ceramah yang mendapat kerjasama jawatankuasa
masjid terbabit juga turut memberi maklumat kepada orang ramai tentang
permasalahan dan kaedah penebusan harta pusaka Islam.
Katanya,
masyarakat perlu didedahkan dengan cara pengagihan harta semasa hidup sebagai
perancangan awal pengagihan harta bagi mengelakkan masalah yang bakal timbul
kepada harta yang ditinggalkan selepas kematian mereka.
“Ini
memandangkan, masalah tunggakan harta pusaka boleh mendatangkan implikasi yang
buruk dari perspektif ekonomi, undang-undang, agama dan sosial,” ujarnya.
0 komen: