Thursday, 12 April 2018

238 Tinggalkan Tabiat Merokok Melalui mQuit

SHARE


Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohamad Jusoh yang mewakili Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohammad Omar merasmikan Sambutan Hari Kanser Dan Pelancaran Nafas Baru bermula Ramadhan Peringkat Negeri di Taman Awam Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu hari ini. Foto Oleh: Harish Fadzillah 
Kementerian Kesihatan telah membantu seramai 238 perokok di negeri ini melalui Perkhidmatan Rawatan Berhenti Merokok mQuit (mQuit) tahun lalu.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohammad Omar berkata, mQuit yang disediakan di klinik-kilik kesihatan ne­geri ini berjaya membantu 203 orang atau 36.5 peratus perokok tegar meninggalkan tabiat buruk itu daripada 556 orang yang berdaftar.

“Bagi Hospital Sultanah Nur Zahirah pula, seramai 60 perokok mendaftar dengan mQuit dan 35 orang daripadanya atau 58.3 peratus pulih daripada ketagihan,” ujarnya.


Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohamad Jusoh yang mewakilinya merasmikan Sambutan Hari Kanser Dan Pelancaran Nafas Baru bermula Ramadhan Peringkat Negeri di Taman Awam Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu hari ini.

Katanya, pelancaran Kempen Nafas Baru Bermula Ramadhan diadakan setiap kali menjelang bulan puasa sebagai usaha membantu perokok untuk berhenti merokok.


“Ramai di kalangan perokok mempunyai hasrat dan berusaha untuk berhenti merokok tetapi mungkin disebabkan beberapa faktor membantutkan usaha mereka.

“jadi melalui kempen ini, ambillah peluang tanamkan semula tekad dan azam dengan menjadikan  Ramadhan sebagai titik mula untuk berhenti merokok,” ujarnya.

Katanya, pelbagai usaha telah dilaksanakan pihak kerajaan termasuk mQuit, kempen dan lain-lain lagi tetapi ianya tidak bermakna tanpa sokongan masyarakat dan perokok-perokok tegar untuk berhenti daripada tabiat yang boleh menjejaskan kesihatan itu.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: