Thursday, 29 March 2018

Terengganu Diiktiraf Pusat Sukan Berbasikal Negara

SHARE

Khairy bersama Ahmad Razif berbasikal menuju ke tapak Veledrom Azizulhasni Awang.Foto Tg Syamim Tg Ismail

Terengganu diiktiraf sebagai Pusat Sukan Berbasikal Negara berdasarkan pencapaian cemerlang atlet berbasikal kelahiran negeri itu di persada dunia.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berkata kejayaan sama mendorong kerajaan menamakan velodrom di Kampung  Balai Besar sebagai Velodrom Azizulhasni Awang berdasarkan kecemerlangan jaguh pecut berbasikal negara kelahiran Dungun itu mengharumkan nama negara.

Katanya, pada masa sama, berbesar hati mengagihkan geran berjumlah RM1 juta yang diperuntukkan Kerajaan Pusat disalurkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) Terengganu bagi keperluan sukan basikal di negeri ini.

"Pengisytiharan Terengganu sebagai pusat kecemerlangan berbasikal negara selaras dengan kecemerlangan negeri itu dalam sukan berbasikal negara sekali gus memahat nama Malaysia di peringkat dunia terutama menerusi Azizulhasni dan juga ratu trek basikal negara kelahiran Kuala Berang, Nur Fatehah Mustafa, " katanya.


Malah jelasnya, ramai sedia maklum pencapaian ramai atlet sukan kelahiran Terengganu yang konsisten sehingga mengharumkan nama negeri dan negara dalam pelbagai acara sukan yang ditandingi.

"Saya ucap tahniah kepada Menteri Besar (Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman) kerana Terengganu cemerlang dan konsisten dalam sukan yang melahirkan ramai pelapis baharu sehingga ke jaguh dunia (Azizulhasni).

"Sebab itu hari ini saya isytiharkan Terengganu sebagai Pusat Sukan Berbasikal negara," katanya dalam sidang media selepas majlis peletakan batu asas velodrom berkenaan di Kampung Balai Besar, Dungun, hari ini.

Majlis peletakan batu asas Velodrom Azizulhasni Awang itu disempurnakan oleh Ahmad Razif.

Turut hadir Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Mohd Zubir Embong; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato' Rozi Mamat dan Pegawai Pembangunan Parlimen Dungun, Dato' Din Adam.

Khairy turut memberitahu kementeriannya menyumbangkan RM100,000 kepada pasukan basikal Terengganu (TSG) yang melakar sejarah merangkul jersi kuning sekali gus menjadi juara keseluruhan Le Tour De Langkawi.

Mengulas mengenai velodrom itu, katanya, projek berkenaan yang menelan belanja RM12 juta akan mula dibina dalam waktu terdekat dan dijangka siap sepenuhnya penghujung tahun depan.

"Velodrom ini juga dibina berdasarkan reka bentuk Velodrom Roubaix yang terdapat di Perancis," katanya.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: