Wednesday, 14 March 2018

Syarikat, Kontraktor Tempatan Akan Terlibat Dalam Projek ECRL

SHARE



Menteri Besar menyaksikan majlis pertukaran dan menandatangani Memorandum Persefahaman antara Epic Berhad, CMC Engineering Sdn. Bhd. dan T7 Global Berhad di Bilik Perjanjian, Wisma Darul Iman, hari ini. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail


Kerajaan negeri akan memastikan syarikat dan kontraktor tempatan terlibat secara langsung dengan kerja-kerja pembinaan infrastruktur Projek Pembangunan Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang akan bermula tidak lama lagi.

Bagi merealisasikan hasrat itu, syarikat pegangan pelaburan kerajaan negeri, Terengganu Incorporated (TI) dan anak syarikat, Epic Berhad akan berunding dengan Pembinaan Infrastruktur Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) dan pemaju utama projek, China Communications Construction Company Ltd (CCCC).



Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata,  projek ECRL sepanjang 600 kilometer yang menelan belanja RM55 bilion itu pastinya memberi impak yang besar terutama membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat negeri ini termasuk syarikat tempatan yang berkelayakan.

“Projek ini akan membuka peluang kepada kontraktor tempatan. Kita juga akan  menyelaras dari segi pembekal kuari dan pasir-pasir menerusi Terengganu Incorporated dan juga Epic. 

“TI dan Epic akan berurusan dengan MRL dan CCCC untuk memastikan pengusaha tempatan tidak terlepas dengan peluang-peluang yang terdapat dalam projek ini,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Epic Berhad, CMC Engineering Sdn. Bhd. dan T7 Global Berhad di Bilik Perjanjian, Tingkat 18, Wisma Darul Iman, hari ini.

Kerjasama dimeterai EPIC Berhad, T7 Global Berhad dan CMC Engineering Sdn Bhd dalam teknologi yang saling berkait ini secara tidak langsung dapat menggalakkan partumbuhan pembangunan sosio-ekonomi Negeri Terengganu dan membantu meningkatkan peluang pekerjaan di Pantai Timur.


Menurut Menteri Besar, projek yang dijangka siap pada 2024 itu kini masih dalam proses pengambilan tanah bagi kerja-kerja membangunkan infrastruktur  di lokasi yang ditetapkan pemaju projek.

“Saya difahamkan jika tiada isu tanah, mana-mana tanah kerajaan dan kawasan yang terlibat untuk proses pengambilan balik tanah ini, maka kerja-kerja akan diteruskan dan yang paling penting pada 2024 projek ini akan siap sepenuhnya.

“Apabila memeterai perjanjian ini, maka ia menandakan pada bila-bila masa akan bermula. Setakat hari ini  `base camp’ sahaja yang ada. Malah, baru-baru ini juga diadakan temuduga pengambilan pekerja tempatan dan saya difahamkan seramai 3,000 orang akan terlibat, di mana TATiUC (Kolej Universiti TATI) akan menjadi pusat latihan kepada pekerja ini,”katanya.

Dalam pada itu, menurut Ahmad Razif lagi, prestasi projek itu juga menutup desas-desus segelintir pihak yang mengatakan projek mega berkenaan tidak memberi  peluang pekerjaan kepada rakyat  Terengganu.

ECRL yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd  Najib Tun Abdul Razak pada Ogos tahun lalu membabitkan pembinaan laluan rel kereta api yang merentasi sebahagian Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Projek yang melibatkan sejauh 227 kilometer (km) dengan cadangan bagi empat jejari jajaran adalah 71 km yang membabitkan jarak sejauh 298 km dan Stesen Kampung Raja, Stesen Penarik, Stesen Dungun dan Stesen Chukai.

Stesen baru yang dicadangkan  iaitu Stesen Kuala Nerus, Stesen Kuala Telemong dan Stesen Pengkalan Berangan yang pada asalnya adalah Stesen Ajil serta Stesen Kemasik bagi menggantikan Stesen Paka.






SHARE

Author: verified_user

0 komen: