Thursday, 8 March 2018

Solidariti Semua Kaum Faktor Kemenangan BN PRU14 - Ahmad Razif

SHARE
Menteri Besar (baju hitam, tengah) bergambar bersama pemimpin dan pegawai kerajaan di Kemaman serta 430 penerima angpau di majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran 23 NGO kaum Cina Parlimen Kemaman di Dewan Komuniti Cina, Bandar Chukai, malam tadi. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail
Kesepakatan dan solidariti tiga kaum menjadi antara faktor penyumbang kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke- 14 (PRU14) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang dikuasai pembangkang pada masa ini.

Pengerusi BN Terengganu yang juga Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kaum Melayu, Cina dan India perlu bersatu dan bekerjasama bagi memastikan BN menawan kembali DUN  Chukai dan DUN lain.

Katanya, walaupun ianya membabitkan kaum minoriti Cina dan India namun undi mereka boleh menjadi faktor penentu kepada kejayaan BN di Parlimen Kemaman.



“Kerja berpasukan melibatkan tiga kaum berkenaan penting untuk menawan kembali DUN Chukai pada PRU14 sekali gus menjadikan Kemaman bandar besar dan maju.

"Apa yang penting sekarang ialah untuk memperkukuhkan politik dan menunjukkan solidariti agar politik lebih kukuh sekali gus dapat menarik keyakinan pelabur asing,” katanya.

Ahmad Razif menyatakan perkara itu ketika berucap pada majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran 23 NGO kaum Cina Parlimen Kemaman di Dewan Komuniti Cina, Bandar Chukai.

Majlis itu dihadiri kira-kira 5,000 penduduk Kemaman khususnya warga Tionghua.

Pada majlis tersebut, Menteri Besar turut menyampaikan angpau kepada lebih 430 warga emas dan hadiah kepada pemanang cabutan bertuah.


Beliau juga berjanji untuk memastikan lebih banyak pembangunan dalam pelbagai sektor dibawa masuk ke daerah Kemaman khususnya di Chukai sekiranya BN berjaya merampas kerusi itu daripada pembangkang.

Dalam pada itu Ahmad Razif berkata, Parlimen Kemaman khususnya kawasan DUN Chukai kini dilihat menjadi perhatian kebanyakan para pelabur luar seperti China bagi menjana ekonomi setempat.

SHARE

Author: verified_user

0 komen: