Monday, 26 March 2018

Peruntukan Segera RM200 Ribu Mendalam Muara Sungai Merang

SHARE
Mohd Jidin meninjau persekitaran sempena lawatan di muara Sungai Merang, Setiu, hari ini. Foto oleh Aminuddin Ismail
d caption

Kerajaan negeri menyediakan peruntukan segera sebanyak RM200,000 bagi kerja-kerja mendalamkan muara Sungai Merang berhampiran jeti Merang yang kini semakin cetek serta menyulitkan pergerakan bot-bot nelayan dan pelancong.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Negeri, Dato' Mohd Jidin Shafee berkata, kerajaan negeri amat serius untuk menangani permasalahan itu termasuk  melaksanakan pendekatan segera bagi mengelak masalah lebih buruk berlaku.

“Bagi tindakan segera, sebanyak RM200,000 diperuntukkan untuk membuat alur sementara menunggu proses sebenar untuk mengatasi masalah air cetek di muara kuala itu.

“Kerja-kerja itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat ini bagi memberi memudahkan pergerakan bot keluar masuk,"katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan lawatan di muara Sungai Merang, Setiu, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Pengairan Dan Saliran Terengganu (JPS), Osman Abdullah, Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Jurutera Daerah JPS Setiu, Aisyah Abu Bakar.

Mohd Jidin berkata, fenomena air cetek di muara itu berlaku saban tahun walaupun pelbagai usaha dijalankan bagi mengatasinya.


Tambah beliau lagi, kerja-kerja menaik taraf kawasan itu amat penting bagi memastikan Merang muncul sebagai gerbang pelancongan utama ke Pulau Redang. 

"Kerajaan negeri melalui JPS sudahpun memohon peruntukan sebanyak RM200 juta daripada Kerajaan Pusat untuk membina benteng pemecah ombak bagi menyelesaikan masalah muara cetek itu," katanya.

Menurutnya lagi, apabila peruntukan berkenaan diluluskan nanti, masalah muara cetek di Kuala Merang dijangka akan dapat diatasi sepenuhnya seperti yang sudah dilaksanakan di muara sungai lain.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: