Kejayaan Pasukan Berbasikal Terengganu (TSG) melakar sejarah
muncul juara keseluruhan buat pertama kali selepas 22 tahun penganjuran Le Tour
de Langkawi (LTdL), membuktikan usaha kerajaan Terengganu terhadap pembangunan
sukan berbasikal tidak sia-sia.
Menteri Besar Dato’
Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, selaku pemimpin nombor satu negeri itu, beliau
sangat berbangga dengan pencapaian pasukan TSG, malah rakyat Terengganu
khususnya dan rakyat Malaysia amnya, juga amat gembira dengan kemenangan
tersebut.
"Setelah 22 tahun kita tunggu, hari ini dapat mencipta
sejarah dan dicipta pasukan TSG. Sudah pasti kerajaan Terengganu akan
memperkasakan lagi sukan berbasikal. Kita akan terus membantu pasukan dalam
mencari bakat baharu.
“Saya percaya kejayaan Ovechkin akan membakar semangat pelumba tempatan dalam
pasukan TSG untuk melakar kejayaan lebih cemerlang pada masa akan datang,"
katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur.
Kejayaan pelumba Rusia, Artem Ovechkin memenangi jersi
kuning selaku pelumba terbaik keseluruhan untuk pasukan Malaysia, menutup
saingan perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018 yang melabuhkan
tirainya di Dataran Merdeka, semalam.
Tiada sasaran diletakkan kepada pelumba pasukan Terengganu
Cycling Team (TSG) itu, namun beliau membuktikan kerjasama berpasukan yang erat
selain sokongan padu daripada kerajaan negeri Terengganu yang membuat pelaburan
besar terhadap TSG, jelas membuahkan hasil positif.
Untuk rekod, Ovechkin merupakan pelumba pertama yang meraih
jersi kuning untuk pasukan Malaysia sejak pengenalan LTdL pada 1996.
Dalam pada itu, pelumba Itali kembali menguasai jersi hijau
selaku Raja Pecut dengan pelumba pasukan Bardiani-CSF, Andrea Guardini
menyambar jersi berkenaan buat kali keempat setelah memenangi jersi berkenaan
sebanyak tiga kali sebelum ini - 2011, 2012 dan 2016.- Bernama
0 komen: