Friday, 23 March 2018

Jangan Ambil Mudah Berkongsi Dokumen Pengenalan Diri Di Laman Sosial

SHARE
Jailani menendang bola sebagai gimik perasmian Sukan LiSUS di padang bola Kampung Butut, Kuala Berang hari ini 


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menasihatkan orang ramai terutamanya pengguna media sosial tidak mendedahkan dokumen pengenalan diri (Mykad) bagi mengelakkan berlakunya jenayah siber.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato' Seri Jailani Johari berkata sekiranya dokumen berkenaan di muat naik di media sosial, sudah tentu ada pihak yang tidak bertanggungjawab akan memanipulasinya untuk tujuan penipuan.

"Ada pihak memuat naik salinan kad pengenalan dengan tujuan membantu contohnya jika berlaku bencana atau kemalangan bagi memohon bantuan ramai tetapi tidak sedar ada pihak akan mengambil kesempatan.

"Pihak yang tidak bertanggungjawab seperti peniaga atas talian palsu atau 'scammer' akan gunakan maklumat berkenaan untuk mencari mangsa, menggunakan data mereka sekaligus meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada mangsa berkenaan,"kata Jailani kepada pemberita di majlis perasmian Liga Sukan Untuk Semua(LiSUS) di padang bola Kampung Butut, Kuala Berang hari ini.

Beliau turut berkata, jika perkara ini jatuh ke tangan orang lain tidak mustahil perkara buruk akan berlaku walaupun mangsa tidak terlibat.

"Contohnya jika dokumen berkenaan digunakan dan terlibat dengan elemen-elemen fitnah, menghuru-hara dan sebagainya perkara tersebut adalah terjatuh dibawah 233 Akta Komunikasi...dan pemilik dokumen juga akan menghadapi masalah tanpa pengetahuan mereka.

"Tetapi pihak yang menjadi mangsa godam boleh membuat laporan sekiranya maklumatnya dimanipulasi kepada SKMM agar penjenayah siber berkenaan boleh dikenakan tindakan dibawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,"katanya lagi.

Menurutnya pihak penjenayah siber juga boleh dikenakan tindakan tegas dibawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 kerana telah menceroboh dan menggunakan maklumat tanpa kebenaran sehingga boleh memudaratkan pemilik data.





SHARE

Author: verified_user

0 komen: