Friday, 2 March 2018

EKSPO TERENGGANU 2018 : PM Bakal Rai 111 Pasangan Pengantin

SHARE
Seramai 271 pasangan melangsungkan perkahwinan secara serentak di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, pada 16 September lalu dan mendapat pengiktirafan The Malaysia Book Of Records.

Seramai 111 pasangan pengantin bakal mengabadikan momen indah apabila persandingan mereka akan disaksikan pemimpin nombor satu negara, Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak sempena Perkahwinan Perdana 2018 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, esok (3 Mac).


Program kelolaan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) itu susulan lawatan Perdana Menteri untuk merasmikan majlis penutup Ekspo Terengganu 2018 yang berlangsung bermula 25 Februari hingga 3 Mac.

Perkahwinan Perdana 2018 dijadualkan berlangsung bermula jam 10.30 pagi dengan ketibaan jemputan dan disusuli perarakan masuk semua pasangan pengantin diiringi bunga manggar, pasukan selawat serta Kumpulan Kompang ke Dewan Arena.

Perdana Menteri yang diiringi Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman dijangka tiba pada jam 12.30 tengahari, akan merenjis mawar pengantin sebelum acara memotong kek sebagai gimik perasmian.

Pengarah YPKT, Mohd Shafaruddin Mustaffa berkata, semua pengantin dari lapan parlimen seluruh Terengganu itu memohon menyertai program perkahwinan perdana yang mendapat tajaan kerajaan negeri sejak 24 januari hingga 20 Februari lalu.

Katanya, semua pasangan itu diberi pilihan memilih dua tarikh walimatulurus sama ada pada 3 Mac (esok) dan 30 Jun ini.

"Kesemua 111 pasangan pengantin ini sudah bernikah di masjid daerah masing-masing pada 2 Mac lalu. Mereka terdiri daripada Kuala Terengganu (12 pasangan), Kuala Nerus (26), Marang (9), Dungun (17), Setiu (13), Kemaman (15), Setiu (8) dan Besut (11).

"Program dapat membantu pasangan pengantin terutama golongan muda memudahkan proses perkahwinan, membantu meringankan bebanan keluarga yang tidak berkemampuan dalam urusan mengadakan majlis perkahwinan anak mereka dan memperkasakan institusi kekeluargaan,"katanya.


SHARE

Author: verified_user

0 komen: