Friday, 2 March 2018

EKSPO TERENGGANU 2018: Duyong Marina & Resort Tawar Perkhidmatan Ukiran Ais

SHARE

Duyong Marina & Resort, Kuala Terengganu menyediakan perkhidmatan ukiran ais bagi pelbagai majlis keramaian, satu perkhidmatan yang sukar ditemui di Terengganu.

Pengurus Operasinya, Sham Fadzli Yusof berkata, dengan tawaran harga yang bermula serendah RM200, pelbagai bentuk ukiran dapat dihasilkan bergantung kepada permintaan pelanggan.

Katanya, kerana seni ukiran ais sangat sukar untuk diperolehi di Terengganu, pihaknya menjemput chef dari luar negeri yang mahir bagi hasil kerja tangan itu untuk menyertai Duyong Marina & Resort.

"Buat masa sekarang, ukiran ais semakin mendapat permintaan di kalangan rakyat Terengganu terutamanya untuk majlis-majlis perkahwinan.

"Dengan kemahiran yang ada pada chef kami, pelanggan mampu meminta pelbagai bentuk yang dikehendaki. Bagi harganya pula, ianya bermula dari RM200 sehingga RM1,000 sahaja bergantung kepada bentuknya," katanya kepada Teganukita, di Ekspo Terengganu 2018, di pekarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus, hari ini.

Tambahnya, hotel itu juga turut menyediakan hadiah menarik kepada pengunjung bertuah iaitu pakej perkahwinan yang bernilai RM20,000.

Selain itu, hadiah-hadiah lain turut tersedia kepada pengunjung iaitu pakej bulan madu di Duyong Marina & Resort selama tiga hari, dua malam bernilai hampir RM1,000, pakej sarapan pagi dan pelbagai lagi.


Sementara itu, chef ukiran ais, Chef Afif Hakimi Lo berkata, dia melibatkan diri dalam bidang tersebut sejak 20 tahun lalu dan minatnya bermula ketika bekerja di dapur sejuk.

"Ketika itu saya bermula dengan ukiran buah dan kemudiannya baru mengorak langkah dengan ukiran ais yang lebih mencabar.

"Untuk menghasilkan ukiran ais, bongkah ais itu sendiri memainkan peranan yang sangat penting," katanya yang berasal dari Sarawak.

Menurutnya, masa yang diambil untuk menyiapkan sesuatu ukiran antara 45 minit sehingga satu jam bergantung kepada bentuk dan saiz.

"Ukiran ais ini pula mampu bertahan antara dua hingga tiga jam selepas siap dibentuk bergantung kepada keadaan suhu di kawasan itu," katanya.
SHARE

Author: verified_user

*Mohd Syazni Zainudin
*Unit Komunikasi Terengganu (Ukom)
*Kuala Terengganu
*Journalist

0 komen: