Saturday, 10 February 2018

Ziarah Perdana Wanita UMNO Libatkan 48 J3K Di DUN Ajil

SHARE
Zurina (dua dari kanan) bertanya khabar warga emas Senik Mohamad di Kampung Tok Gebok, Ajil sempena ziarah perdana Wanita UMNO Dun Ajil hari ini.


Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, semangat tepat bagi usaha Penyelaras Wanita UMNO Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil melaksanakan Ziarah Perdana khususnya kepada individu yang memerlukan bantuan.

Julung kali diadakan di 48 buah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) mencipta sejarah apabila melibatkan semua Jalinan Rakyat (JR) Wanita UMNO peringkat akar umbi turun serentak menziarahi lima rumah yang terpilih  di setiap lokasi masing-masing.

Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Zurina Abdul Rahman berkata program Ziarah Perdana di buat mengikut pecahan J3K  bagi menyampaikan sumbangan dibantu oleh JR Wanita UMNO kerana mereka lebih mengetahui golongan sasaran di sesebuah kawasan tersebut.

"Sasaran utama ialah lima buah rumah yang melibatkan orang miskin, warga emas, pesakit kronik dan golongan asnaf di setiap J3K.

"Melalui program ziarah ini, Wanita UMNO akan menghulurkan sumbangan sekampit beras dan sedikit wang tunai bagi meringankan beban keluarga sebagai tanda prihatin selain sokongan moral kepada mereka terbabit.

"Selain itu, kita juga akan dapatkan maklumat terperinci untuk tindakan lanjut samada oleh wakil rakyat atau agensi-agensi yang berkaitan,” katanya kepada Teganukita ketika ditemui di Pekan Ajil hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Ajil, Ghazali Taib, Bibi Nazima Mohamed Akbar.



Menurut Zurina, perlaksanaan ziarah ini bukan satu program bermusim seperti diwar-warkan oleh sesetengah pihak sebaliknya dilakukan secara berterusan dan merupakan program wajib bagi Wanita UMNO.

"Ini merupakan 'trademark' bagi Wanita UMNO sejak dahulu untuk turun padang ke peringkat akar umbi dan ternyata telah memberi impak positif kepada semua pihak setakat ini.

"Keprihatinan yang ditunjukkan adalah bertepatan dengan ajaran Islam yang menggalakkan umatnya supaya memberi pertolongan dan bantuan kepada orang-orang yang susah samaada dari segi harta benda, kewangan dan sebagainya," ujar Zurina.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: