Friday, 9 February 2018

Tiada Istilah Anak Tiri Untuk Perantau Terengganu

SHARE
Ahmad Razif bersama perantau dari Komuniti Anak Darul Iman Malaysia (Kadim) dalam Majlia Ramah Mesra YAB Menteri Besar Terengganu Bersama NGO Perantau Lembah Klang, malam tadi. Foto oleh Tengku Syamin Tengku Ismail.

Perantau Terengganu yang menetap di luar kawasan masih menerima manfaat yang sama dari kerajaan negeri.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, walaupun mereka menetap di luar Terengganu, tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh perantau tersebut tidak diabaikan oleh mereka.

Katanya, perantau merupakan antara yang banyak membantu kerajaan dan mereka masih mempunyai hak sama dengan rakyat Terengganu yang masih menetap di dalam negeri.

"Walaupun mereka sering dipersalahkan dalam menentukan keputusan pilihan raya namun saya yakin apa yang berlaku ini disebabkan tiada pendekatan dan kadang-kadang anak perantau rasa mereka ini macam anak tiri.

"Maka kerana itulah Kerajaan Negeri sekarang ini mengambil inisiatif untuk memberi peluang yang sama kepada anak-anak Terengganu dengan syarat dia mengundi di Terengganu.


"Kita akan pastikan bahawa apa yang rakyat Terengganu dapat, apa kemudahan yang kita dapat, apa bajet yang kita luluskan mesti anak perantau juga dapat walaupun tinggal di mana-mana tetapi dengan syarat dia mesti mengundi di Terengganu. Itu syarat kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra YAB Menteri Besar Terengganu Bersama NGO Perantau Lembah Klang di Kuala Lumpur, malam tadi.

Turut hadir, Speaker DUN, Dato' Mohd Zubir Embong; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail dan Pemangku Presiden Persatuan Anak Terengganu Di Selangor dan Wilayah Persekutuan (Pesat), Sham Aziz Ismail.

Dalam majlis tersebut lebih 200 wakil daripada 15 Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu melibatkan diri.

Setiap NGO turut menerima RM10,000 bagi menguruskan kelab dan persatuan mereka selain mengadakan program-program untuk anak Terengganu di perantau.
SHARE

Author: verified_user

*Mohd Syazni Zainudin
*Unit Komunikasi Terengganu (Ukom)
*Kuala Terengganu
*Journalist

0 komen: