Monday, 12 February 2018

Sultan Mizan Seru Cari Jalan Lestari Khazanah Alam

SHARE

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah agar Terengganu tidak ketinggalan dengan masyarakat dunia dalam mencari kaedah bukan sahaja melestarikan khazanah alam, malah memikirkan kaedah yang efektif dan proaktif bagi memberi manfaat semaksima mungkin kepada komuniti setempat.

Titahnya, keunikan tanah bencah itu berpotensi menjadi produk pelancongan yang boleh diketengahkan di persada global.

"Beta percaya, komuniti setempat boleh mengambil peluang menyediakan perkhidmatan pelancongan yang bersesuaian seperti aktiviti menyusuri sungai, lawatan ke sangkar ikan, melihat habitat tuntung dan penyu di samping aktiviti pemerhatian burung, flora dan fauna lain kepada pengunjung yang ingin mengalami suasana alam semulajadi tanah bencah.

"Beta percaya kawasan tanah bencah ini mempunyai kekayaan sumber alam semulajadi yang dapat menjana pendapatan ekonomi kepada komuniti setempat. Pelbagai aktiviti boleh dikomersialkan seperti penternakan lebah madu, pembuatan tikar kercut, industri kecil pembuatan makanan penternakan tiram, keram dan ketam, selain sebagai tapak pembenihan akuakultur," titah baginda.

Tuanku Mizan bertitah ketika merasmikan Majlis Pelancaran Boardwalk Setiu di Pengkalan Gelap, Setiu, hari ini.

Mengiringi baginda Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Zubir Embong dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail.

Turut hadir ke majlis tersebut, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; Pegawai Daerah Setiu, Rosdi bin Awang, Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan DiRaja Sultan Mizan, Dato’ Prof. Emeritus Dr. Makhdzir Mardan dan Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu, Profesor Dato’ Dr. Nor Aieni Mohktar.

Tambah baginda, tanah bencah merupakan masa depan kita. Ianya merupakan antara ekosistem yang amat bernilai dengan pelbagai manfaatnya membekalkan sumber khazanah alam punca rezeki komuniti setempat.


Baginda bertitah, tanah bencah mampu menjadi penahan kepada bencana alam tertentu, meminimakan risiko bencana banjir dan kemarau serta membantu memberi perlindungan daripada bencana cuaca ekstrim.

"Selain itu, tanah bencah juga berkemampuan menjadi sumber alam semulajadi kepada mata pencarian komuniti setempat selain menyediakan habitat sesuai kepada biodiversiti hidupan flora dan fauna yang pelbagai," titah baginda.

Dalam titah ucapan baginda juga, dengan pelancaran 'boardwalk' atau laluan santai itu ianya merupakan mukadimah kepada memperkenalkan khazanah alam kita kepada bukan sahaja pelancong luar malah ianya harus membuka minda masyarakat setempat tentang betapa pentingnya memulihara kelestarian serta mengekalkan bio diversiti kehidupan yang merupakan habitat semulajadi flora dan fauna.

"Beta  amat yakin pewartaan sebahagian  daripada  Tanah Bencah Setiu ini amat bertepatan pada masanya dan bakal memberi impak yang besar kepada masaa depan tanah bencah.

"Perlulah diberi perhatian bahawa, tindakan dan aspirasi generasi kita sekarang adalah penentu samada pelaksanaan melestarikannya dapat dicapai.

"Kejayaan pula sudah tentu bermula daripada anjakan minda dan keutamaan kita dalam memastikan pelaksanaan, peraturan, penguatkuasaan dan implimentasi bagi memartabatkan lagi Tanah Bencah Setiu di persada global," titah baginda.
SHARE

Author: verified_user

*Mohd Syazni Zainudin
*Unit Komunikasi Terengganu (Ukom)
*Kuala Terengganu
*Journalist

0 komen: