Thursday, 8 February 2018

Sekolah Menengah Baru Untuk Penduduk Kampung Serada

SHARE

Penduduk Kampung Serada, di Parlimen Marang boleh menarik nafas lega apabila impian mereka sejak 10 tahun lalu untuk mendapatkan sebuah sekolah menengah di kampung itu menjadi kenyataan, hari ini.

Menteri Pendidikan, Dato’ Seri Mahdzir Khalid berkata, pembinaan sekolah baharu itu  berikutan pelajar dari kampung itu terpaksa bersekolah di sekolah yang agak jauh dari kampung.


Antaranya mereka terpaksa bersekolah di SMK Padang Midin, SMK Seri Nilam, SMK Tun Telanai dan SMK Sultan Mansor yang jaraknya lebih 10 kilometer dari kampung atau jarak rumah.

“Majoriti ibu bapa di sini bekerja sebagai petani menyebabkan mereka kurang mampu menghantar anak-anak mereka ke sekolah yang jauh.

“Selain itu, berlaku kepadatan sekolah-sekolah berkenaan menyebabkan keselesaan pelajar terganggu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Serada, Parlimen Marang, hari ini.


Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A Latiff Awang.

Mahdzir berkata, SMK Serada akan dibina di atas tanah seluas 16 ekar melibatkan peruntukan sebanyak RM27 juta.

“Ia akan menempatkan 18 bilik darjah, makmal sains, bilik pentadbiran, surau, dewan terbuka dan lain-lain kemudahan. Pembinaan itu dijangka siap pada 2019,” katanya.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: