Thursday, 1 February 2018

Puspanita Terengganu Lancar Tabung Prihatin

SHARE
To' Puan Seri Halina Zakaria merasmikan Tabung Prihatin Puspanita. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail.

Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Cawangan Negeri Terengganu melancarkan Tabung Prihatin Puspanita bagi menambah dana dan meluaskan aktiviti untuk manfaat golongan sasar.

Pengerusi persatuan tersebut, To' Puan Anis Hamid berkata, tujuan penubuhan tabung adalah bagi mengumpul dan menambah dana supaya dapat menggerakkan pelbagai program bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik.

Katanya, hasrat Puspanita adalah untuk turut berganding bahu bersama pihak kerajaan dan agensi-agensi lain membantu meringankan beban anak-anak yatim di samping menjaga kebajikan ahli.

"Penubuhan Tabung Prihatin ini juga merupakan usaha berterusan Puspanita ke arah merencanakan lebih banyak program dengan memberikan fokus terhadap aspek pembangunan dan pemerkasaan wanita, kebajikan ahli serta masyarakat. Ianya termasuklah golongan kanak-kanak, orang tua dan orang kurang upaya (OKU).

"Selain itu, kutipan daripada Tabung Prihatin akan turut disumbangkan kepada Tabung Darul Iman di bawah Kerajaan Negeri, iaitu satu tabung yang diwujudkan untuk membantu meringankan bebanan rakyat yang ditimpa musibah atau kurang bernasib baik dengan membiayai pelbagai bantuan yang bersesuaian," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Malam Amal dan Pelancaran Tabung Prihatin Puspanita Cawangan Negeri Terengganu Darul Iman di Hotel Primula, Kuala Terengganu, malam tadi.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Mohd Zubir Embong dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail.

Perasmian Tabung Prihatin Puspanita tersebut dirasmikan oleh Penaung Puspanita Cawangan Negeri Terengganu, To' Puan Seri Halina Zakaria.

Tambahnya, melalui dana yang diperolehi, pelbagai program-program kebajikan mampu dilaksanakan dengan lebih banyak lagi.


"Melalui dana dan bajet yang diserahkan kepada Puspanita Terengganu melebihi tiga kali ganda dari nilai dibelanjakan untuk program-program kebajikan pada tahun lepas, bagi tahun ini kita mampu laksanakan lebih banyak lagi program tahun ini.

"Dana-dana ini kita perolehi daripada anak-anak syarikat Kerajaan Negeri yang selalu melakukan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan dari segi aktiviti juga kami dapat menambah aktiviti seperti pendidikan, keilmuan dan juga keagamaan melalui sumbangan yang diperolehi itu," katanya.
SHARE

Author: verified_user

*Mohd Syazni Zainudin
*Unit Komunikasi Terengganu (Ukom)
*Kuala Terengganu
*Journalist

0 komen: