Tuesday, 6 February 2018

Pakatan Harapan Terengganu Mulai Kecamuk

SHARE

Baru sahaja tinggal bersesak di rumah dengan hasrat berkongsi segalanya, namun dengan keadaan sekitar membiakkan hama, penghuninya mula diserang penyakit kudis buta yang mudah berjangkit. Resah pedih gatal itu seakan tidak lagi boleh ditanggung.

Kain baju mula direbus di tengah laman dan disidai di pinggir jalan. Itu analogi seorang kawan tentang kemelut yang turut melanda Pakatan Harapan di negeri ini yang mengimpikan untuk mengambil alih pentadbiran negeri.

Semua ini menyusul selepas kemelut di beberapa negeri hasil pendekatan 'bersetuju untuk bersetuju' yang menyatukan mereka sehingga sedia tinggal serumah selama ini untuk menumbangkan musuh bersama, UMNO/Barisan Nasional dan Pas.

Orang yang diberi kepercayaan menjadi Ketua Penerangannya, Hambali Abdul Latiff yang juga Setiausaha PPBM negeri pula benar-benar memberi penerangan, tanpa perlu diselindungkan, agar tidak pula perlu disuluh oleh sesiapa lagi untuk melihat di mana tempat kegatalan yang teramat.

Satu demi satu didedahkan di laman sosial seakan tidak mempedulikan sesiapa lagi, kedudukannya atau menjaga maruah pakatan itu, dan 'serangan' awalnya terhadap Pengerusi Pakatan Harapan negeri, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang disifatkan lemah dalam mengemudikan perjalanan.

Timbalannya pula, Azan Ismail yang juga Pengerusi PKR diberi bayangan sebagai orang yang lebih layak bagi memikul tanggungjawab berat berkenaan dengan pengalaman dan kematangan politiknya dari segi kerja pilihan raya dan kerja parti.

Malah parti serpihan Pas itu juga digambarkan sebagai agak tamak dengan keghairahan untuk mendapatkan mendapatkan lebih banyak kerusi yang mula menimbulkan rasa cuak parti-parti sahabat bersandarkan keupayaan sebenar PAN yang mereka tahu tidak akan akan membawa ke mana-mana.

Raja Kamarul Bahrin dilihat sehingga kini seakan berperanan hanya mahu menjaga kepentingan PAN dan kerusi-kerusi  yang mahu ditandingi, bukannya menyeluruh  dalam memenuhi impian besar itu.

Mereka mahu Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu bertindak sebagai ketua kepada parti komponen tanpa mengikut sahaja terlunjuk pemimpin PAN dalam melaksanakan apa yang telah dipersetujui dalam mesyuarat  dan bukannya mermbuat pusingan U mengubah keputusan.

Dalam keasyikan bertelingkah soal pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak berkesudahan, proses penyusunan semula  Pengerusi /Ketua Pakatan Harapan Parlimen masih belum  dilakukan bersesuaian dengan persetujuan pembahagian kerusi Parlimen oleh Pakatan Harapan Pusat.

Begitu juga dengan soal gerak kerja di Pusat Daerah Mengundi dan cawangan -cawangan dengan kekuatan jentera dan lain-lainnya yang masih menimbulkan banyak tanda-tanya ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 sudah hampir di muka pintu.

Soal pembahagian kerusi DUN difahamkan sudah mulai tempuh jalan buntu,  justeru mereka terpaksa menyerahkan kepada Pakatan Harapan Pusat untuk membuat keputusan yang dibimbangi tidak juga akan meredakan keadaan.

Difahamkan selepas enam siri perbincangan, kata putus bagi enam daripada daripada 32 kerusi, belum dicapai kerana masih berlaku pertindihan iaitu di Bukit Tunggal, Sura, Cukai, Kemasik,  Ladang dan Batu Buruk apabila PAN turut mahukan kerusi-kerusi berkenaan.

Cuma kerusi Kijal dan Wakaf Mempelam tidak menarik minat mana-mana parti awalnya, namun ketika PKR bersedia mengambil tempat  yang sekadar dianggap 'membunuh diri' itu, PAN dikatakan mengubah pendirian mahu turut mencuba setelah menemukan calon yang dikatakan layak.

Sedangkan pada awalnya  difahamkan mengikut konsesus, kerusi di setiap kawasan Parlimen perlu
mempunyai taburan tiga parti bagi memungkinkan gerak bersama yang lebih padu dan jika PAN kekal dengan pendiriannya, tiga ketua bahagian PPBM tidak berpeluang untuk bertanding.

Ekoran pergolakan ini, sudah dicetuskan soal kemungkinan satu pakatan baharu dalam Pakatan Harapan negeri melalui gabungan PPBM dan PKR  dengan keyakinan dua parti itu lebih berupaya menyaingi Pas dan Barisan Nasional  manakala PAN dibiarkan bersama dengan DAP.

Adakah senario politik Pakatan Harapan Terengganu akan berubah dalam sedikit masa lagi? Tanya Ketua Penerangannya sendiri. Apapun, semoga dalam keadaan gatal yang teramat ini, tiada yang terselak kain di jalan. - Sumber Utusan Online


SHARE

Author: verified_user

*Mohd Syazni Zainudin
*Unit Komunikasi Terengganu (Ukom)
*Kuala Terengganu
*Journalist

0 komen:

arrow_upward