Thursday, 8 February 2018

NC UCB Tulis Lebih 60 Buku Akademik

SHARE

Tidak ramai mengenali nama penanya, namun Naib Canselor University College Bestari (UCB), Prof. Dr. Ab Aziz Yusof sudah menulis lebih 60 judul buku akademik sejak memulakan karier sebagai pensyarah hampir 20 tahun lalu.

Ab Aziz yang berasal dari Kampung Rahmat, Felda Chalok , Setiu itu mula menulis buku ketika berkhidmat di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 1996.

"Minat untuk menulis timbul ketika saya bertugas sebagai pensyarah di UUM walaupun sebelum itu saya tidak pernah menulis buku akademik.

"Pensyarah tidak sepatutnya hanya hebat bercakap tetapi pensyarah juga perlu hebat menulis ini adalah kerana kekuatan sebagai pensyarah adalah dengan menulis buku akademik dalam bidang kepakaran masing-masing" katanya yang pernah belajar dalam bidang Sarjana Pengurusan Sumber Manusia dari University of Hull United Kingdom.

Katanya, melalui penulisan para pelajar dan masyarakat juga boleh mengetahui kepakaran yang dimiliki oleh seseorang pensyarah.

"Buku pertama yang saya tulis ialah bertajuk "Asas-Asas Keusahawanan" yang diterbitkan oleh Prentice Hall.

"Buku pertama ini terdapat banyak kelemahan. Walau bagaimanapun dari sinilah saya mula menambahkan karya-karya saya untuk kegunaan pelajar universiti dan juga masyarakat" katanya.

Buku-buku yang mendapat sambutan yang ditulis oleh beliau antaranya ialah 'Gelagat Organisasi-Satu Pendekatan Strategik', 'Pengurusan Perniagaan Islam', 'Teori Dan Amalan Keusahawanan' dan Penilaian Prestasi.


Bapa kepada enam anak perempuan iaitu Nor Syuhada, 34, Nor Hidayah, 32, Nusaibah, 30, Nur Amalina, Nur Hakimah, 21 dan Nurain Najwa, 19 itu akan terus membudayakan penulisan ilmiah sepanjang hayat serta selagi diberi kekuatan oleh Allah SWT.

"InsyaAllah, selagi terdaya saya akan terus menulis buku tetapi mungkin tidak serancak dahulu kerana ia sudah menjadi sebati dengan minat dan karier saya," katanya yang pernah bertugas sebagai Penolong Pegawai Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dari tahun 1980 sehingga 1994.

Beliau dilantik sebagai Naib Canselor UC B pada Oktober 2015 itu berkata, pendorong utama beliau dalam bidang penulisan buku itu ialah isteri dan arwah ibunya yang melihatnya menjadi pensyarah yang cemerlang.

"Isteri, Rasadah Mahmood, 58, arwah ibu, Allahyarhamah Wan Zainab Ismail, Allahyarham Prof Dato' Dr Fauzi Basri mantan Naib Canselor UUM ketika bertugas di UUM dahulu antara yang memberi dorongan kepada saya untuk menulis.

"Kini saya amat bersyukur kerana Pengerusi Pengelola UC Bestari YM Prof. Dato' Dr Tengku Mahmud Mansor juga seorang yang berminat serta sentiasa memberi galakan dan menjadi pendorong utama saya dalam bidang penulisan buku akademik di UC Bestari ini," katanya.

Dalam pada itu, Ab Aziz mahu pihak tertentu perlu memberi pengiktirafan kepada penulis-penulis buku akademik sebagaimana pengiktirafan yang diberikan kepada pengiat seni dan hiburan.


"Penulis buku adalah 'arkitek' kepada pembangunan masyarakat dan juga orang yang berjasa kepada negara, mereka ini perlu diberi pengiktirafan dan menerima anugerah yang sepatutnya," katanya yang juga antara penulis buku akademik yang aktif dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Sebagai penulis buku berpengalaman, Ab Aziz mengharapkan penulis supaya menjaga etika penulisan.

"Penulis perlu ada etika, jangan menciplak dan penulisan juga perlu mengikut kepakaran masing-masing," katanya yang pernah menuntut di UiTM di peringkat Diploma dan mendapat Doktor Falsafah di Universiti Sains Malaysia.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: