Friday, 9 February 2018

KPM Sasar Penambahan 10 Buah Kolej Tingkatan Enam Mod 1 Dalam Tempoh Dua Tahun

SHARE


Kementerian Pendidikan Malaysia ( KPM)  mensasarkan penambahan sepuluh buah Kolej Tingkatan Enam Mod 1 di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dalam tempoh dua tahun.

Menterinya, Dato' Seri Mahdzir Khalid berkata, langkah itu dilaksanakan untuk memantapkan dan memperkasakan lagi akademik di kolej-kolej Tingkatan Enam.

"Kolej Tingkatan Enam mempunyai premis dan pentadbiran yang tersendiri, guru yang dilantik khas dan persekitaran pengajaran dan pembelajaran pra universiti yang kondusif.

"Tidak semestinya bina bangunan baru tapi boleh guna bangunan sedia ada dengan sedikit penambahan dewan dan asrama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Perasmian Kolej Tingkatan 6 Hulu Terengganu (HuTeCs) & Perasmian Berkelompok Mesyuarat Agung PIBG Sekolah-Sekolah Dalam Parlimen Hulu Terengganu di Kuala Berang hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Dato' Seri Jailani Johari; Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan Negeri, Dato' Tengku Putera Tengku Awang; Pengerusi Belia & Sukan dan Sumber Manusia, Dato' Rozi Mamat dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Negeri, Bazlan Abd Rahman.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Pelajaran) KPM; Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Pembangunan Profesionalisme Keguruan) dan Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Husin.

Tambahnya lagi, setiap kolej Tingkatan Enam ini akan dapat menampung 250 hingga 300 orang pelajar dalam satu masa.

Untuk rekod, Pusat Tingkatan Enam Mod 1 mempunyai premis berasingan dengan sekolah arus perdana dan mempunyai pentadbiran tersendiri serta beroperasi dengan sekurang-kurangnya 12 kelas.

Mod 2 pula merujuk kepada pemusatan kelas Tingkatan Enam sekurang-kurangnya 12 kelas di blok berasingan di sekolah arus perdana manakala Mod 3 merujuk kepada pemusatan kurang daripada 12 kelas dan berkongsi blok di sekolah arus perdana.

Pada majlis yang sama, Mahdzir turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM 300,000 kepada Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Terengganu untuk bantuan pengurusan dan pentadbiran.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: