Wednesday, 28 February 2018

Konvensyen BN Terengganu Bermula Esok

SHARE
Konvensyen Barisan Nasional bakal bermula esok di Hotel Primula. Foto oleh Harish Fadzillah Kasim.

Barisan Nasional Terengganu bakal mengadakan konvensyen pertamanya sepanjang empat tahun pemerintahan Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman di Hotel Primula selama dua hari bermula esok.

Pengerusi Jawatankuasa konvensyen tersebut, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar berkata perasmian konvonsyen tersebut akan dilakukan oleh Naib Presiden UMNO Malaysia, Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Katanya, konvensyen pada kali ini akan menghimpunkan 1,100 ahli terdiri daripada semua parti komponen Barisan Nasional Terengganu dan bakal menampilkan kelainan.

"Antara keunikan yang kita nak perkenalkan dalam konvensyen kali ini ialah pada hari pertama, kita jemput semua media menyertai kita daripada petang sampai malam.

"Pada sebelah petang, kita ada perasmian oleh Naib Presiden UMNO dan pada sebelah malam kita ada sesi pembentangan tentang ekonomi serta fakta-fakta perkara yang berlaku di Malaysia oleh Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali.


"Dalam sesi konvensyen kali ini juga kita ada persembahan video daripada Presiden parti, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Beliau tidak boleh hadir tetapi kita dapatkan khas pesanan-pesanan daripada beliau," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Sidang Akhbar Sempena Konvensyen Barisan Nasional Terengganu 2018 di Hotel Primula, Kuala Terengganu, hari ini.

Tambah Wan Abdul Hakim, tema yang dibawakan kali ini adalah 'Terengganu Molek Doh' bertujuan untuk memberitahu rakyat bahawa kerajaan sekarang adalah yang terbaik dan akan terus bersedia menjadi kerajaan yang terbaik untuk rakyat pada masa seterusnya.

Katanya, dalam konvensyen tersebut juga, mantan-mantan pemimpin turut akan hadir termasuk Tan Sri Wan Moktar Wan Ahmad serta mantan Ahli Dewan Undangan Negeri, dan juga mantan calon.
SHARE

Author: verified_user

*Mohd Syazni Zainudin
*Unit Komunikasi Terengganu (Ukom)
*Kuala Terengganu
*Journalist

0 komen: