Monday, 5 February 2018

KB Street Ikon Baru Pelancongan Kuala Berang

SHARE


Lorong laluan pejalan kaki di tengah-tengah Bandar Bawah Tasik kini berubah wajah selepas dinaik taraf menjadi pusat jualan usahawan wanita muda sekali gus ikon terbaharu pelancongan di Kuala Berang.

Laluan sepanjang kira-kira 100 meter yang dijenamakan sebagai Kuala Berang  (KB) Street menjadi mini pusat perdagangan yang menempatkan sepuluh kiosk menerusi kerjasama dengan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dan Majlis Daerah Hulu Terengganu(MDHT).

Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Berang, Dato' Tengku Putera Tengku Awang berkata, sepuluh gerai di bawah pengurusan YPU dibuka kepada peniaga wanita muda umur 45 tahun ke bawah dan telah mengikuti pelbagai kursus keusahawanan.

Jelasnya, KB Street bakal menjadi tempat yang memasarkan pelbagai produk makanan, kraftangan, pakaian dan hasil kraf yang dihasilkan oleh penduduk tempatan bagi memacu ekonomi setempat.

"Kita harap mereka ini akan menjadi peniaga besar dan berjaya satu hari nanti dengan permulaan di KB Street
sebagai  pusat perdagangan dan pertemuan peniaga.

"Sebagai permulaan kita beri peluang kepada usahawan-usahawan ini berniaga secara percuma tanpa membayar sewa kiosk selama setahun..selepas itu mereka hanya perlu bayar RM159 setiap bulan kepada YPU...setakat hari ini hanya perlu bayar lesen meniaga kepada MDHT sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Pelancaran Kiosk KB Street & Pengagihan Buku Humanity (CD Tours) Taqrib Ukhuwah OKB 2 Thailand/Laos di Kuala Berang, semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif YPU Terengganu, Rozali Salleh; Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu, Zuhaimi Omar dan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Faisal Tun Abdul Razak.

Tengku Putera berkata, sebagai usahawan muda yang terlibat dalam bidang keusahawanan ini, mereka harus mempunyai kreativiti yang unik bagi memasarkan produk mereka agar mempunyai tarikan tersendiri.

"Jangan tunggu pelanggan tapi carilah pelanggan supaya mereka datang membeli produk yang kita jual," katanya lagi.

Sementara itu,Tun Faisal turut mengumumkan peruntukan segera sebanyak RM20,000 bagi menceriakan bangunan sekitar KB Street dengan lukisan mural 3D sekali gus menjadi tarikan utama pengunjung untuk datang dan merakam kenangan ketika membeli-belah.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: