Friday, 9 February 2018

JKM Perlu Sahkan Dokumen Anak Jalanan Untuk Ke Sekolah-Mahdzir

SHARE


Kementerian Pendidikan dengan perakuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM) kini membenarkan kanak-kanak 'anak jalanan' yang tidak mempunyai dokumen lengkap memasuki alam persekolahan.

Menterinya, Dato' Seri Mahdzir Khalid berkata anak-anak yang tidak diketahui asal usulnya dibenarkan bersekolah biarpun tidak memiliki dokumen kelahiran yang lengkap.

"Kita benarkan kanak-kanak itu bersekolah di mana-mana sekolah dengan syarat mendapat perakuan daripada JKM atau mahkamah tentang statusnya atau mengesahkan di mana kanak-kanak itu dijumpai dan berapa lama dipelihara oleh JKM.

"Ini termasuklah mana-mana ibu bapa yang memelihara anak angkat warga asing supaya mereka juga dapat bersekolah  seperti kanak-kanak lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Perasmian Kolej Tingkatan 6 Hulu Terengganu (HuTeCs) & Perasmian Berkelompok Mesyuarat Agung PIBG Sekolah-Sekolah Dalam Parlimen Hulu Terengganu di Kuala Berang hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Dato' Seri Jailani Johari; Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan Negeri, Dato' Tengku Putera Tengku Awang; Pengerusi Belia & Sukan dan Sumber Manusia, Dato' Rozi Mamat dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Negeri, Bazlan Abd Rahman.

Tambah Mahdzir, sebelum ini Kementerian Pendidikan telah melonggarkan syarat dengan salah seorang daripada ibu bapa kanak-kanak yang mahu memasuki sekolah itu mestikan warganegara (Malaysia).
SHARE

Author: verified_user

0 komen: