Saturday, 17 February 2018

Jersi TFC Versi Pemain Mula Dijual Esok

SHARE
Perbezaan antara jersi versi pemain (kiri) dan jersi versi peminat (kanan)

Jersi Terengganu FC (TFC) bagi versi pemain yang akan mula dijual bermula esok dengan harga RM99.90 bakal memberi kepuasan serta keselesaan kepada pemakainya.

Pengarah Urusan Kobertbell Marketing (M) Sdn Bhd, Faeez Asry Yusof selaku pengeluar rasmi jersi pasukan tersebut berkata jersi versi pemain tersebut sangat berbeza dengan versi peminat yang mula dijual pada 3 Februari lalu.

Katanya, walaupun harganya lebih tinggi berbanding dengan versi peminat, teknologi yang digunakan untuk versi pemain merupakan teknologi terkini yang memberikan keselesaan kepada pemilik jersi itu.

"Versi pemain ini menggunakan teknologi 'dspex' dimana kain tersebut lebih ringan berbanding jersi versi peminat menjadikannya lebih selesa dipakai.

"Setiap logo TFC yang ada pada jersi versi pemain juga berbeza apabila mengenakan 'High Density Rubber Rise Material' manakala logo penaja pula menggunakan kaedah 'plastisol' menjadikan logo tersebut nampak lebih teliti pembuatannya," katanya.


Tambahnya, terdapat perbezaan ketara yang ditonjolkan oleh dua versi jersi TFC tersebut bersesuaian dengan kehendak peminat pasukan negeri itu.

"Bagi versi pemain jersi tersebut direka dengan kolar leher bulat manakala versi peminat pula kolar pada jersi tersebut berbentuk V.

"Selain itu, pada jersi versi pemain, terdapat pesak tambahan bagi menjadikannya lebih menarik berbanding jersi versi peminat," katanya.

Selain itu, pada jersi versi pemain, terdapat tambahan logo penaja iaitu SP Bumi yang tidak terdapat pada jersi versi peminat.
SHARE

Author: verified_user

*Mohd Syazni Zainudin
*Unit Komunikasi Terengganu (Ukom)
*Kuala Terengganu
*Journalist

0 komen: