Sunday, 25 February 2018

EKSPO TERENGGANU 2018 : Terengganu Sasar Jadi Destinasi Pelancongan Bertaraf Tinggi

SHARE
YB Tengku Zaihan mewakili Menteri Besar melancarkan Sisipan Khas Kempen Beautiful Terengganu bersama News Straits Times Press (NSTP) di Pekarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus, hari ini. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail.
Inisiatif yang digembeleng kerajaan negeri untuk menarik pelancong ke Terengganu akan hanya sia-sia jika semua pemain industri tidak berupaya meningkatkan kualiti pelancongan.

Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Faisal Tun Abdul Razak berkata, selain pemain industri, semua pihak seharusnya bekerjasama mendokong usaha kerajaan negeri dalam meningkatkan industri pelancongan negeri.

Katanya, adalah menjadi hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan bertaraf tinggi demi menarik pelancong dari luar negara terutama dari Jepun, Australia dan Timur Tengah.

"Pelancong dari negara-negara maju yang datang ke Terengganu, pastinya akan berbelanja besar kerana kedatangan mereka bukan sekadar mahu melihat tempat yang cantik dan menarik semata-mata.

"Mereka mahukan tempat pelancongan yang menawarkan tahap hospitaliti dan insfrastktur yang terbaik seperti senyuman daripada individu yang menerima kehadiran mereka, pembungkusan produk yang menarik dan bersih, tandas dan lain-lain kemudahan.



"Kita perlu pastikan bukan setakat produk yang baik tetapi penyampaian kita kepada pelancong juga terbaik," katanya pada Majlis Pelancaran Sisipan Khas Kempen Beautiful Terengganu bersama News Straits Times Press (NSTP) di Pekarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus, hari ini.

Majlis perasmian itu disempurnakan Timbalan Pengerusi 11 Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman. Turut hadir, Ketua Pegawai Ekskutif NSTP, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid.




Tun Faisal berkata, pihaknya akan meningkatkan usaha dengan  menyusun pelbagai aktiviti yang mampu menarik seramai mungkin pelancong ke Terengganu untuk tinggal dan berbelanja di negeri ini.

"Apabila sahaja pelancong ramai datang, ia pasti akan mewujudkan peluang pekerjaan serta mampu meningkatkan pendapatan rakyat negeri terutama di kalangan peniaga,"katanya.

 
SHARE

Author: verified_user

0 komen: