Monday, 26 February 2018

EKSPO TERENGGANU 2018 : RM2.2J Belanja Untuk SSPN-i

SHARE

Kerajaan negeri memperuntukkan RM2.2 juta kepada 21,299  penerima Saguhati Kelahiran Anak Terengganu melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN -i) dalam tempoh dua tahun sehingga 2017.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Roslee Daud berkata, insentif itu  membuktikan kecaknaan kerajaan kepada rakyat negeri dalam menjaga kebajikan mereka melalui penabungan SSPN-i.

Jelasnya lagi, ia adalah satu cara dan kaedah pihak kerajaan membantu keluarga dari segi kelahiran dan masa depan anak tersebut.

"Kita cuba beri galakan awal kepada ibu bapa memikirkan betapa pentingnya penabungan kepada anak-anak.

"Masa depan anak-anak cukup mencabar dan inilah masa yang sesuai kita galakan ibu bapa menabung untuk kepentingan anak mereka.

"Sebab itu, kerajaan negeri memikirkan peringkat awal skim ini sebagai satu cara galakan awal supaya ibu bapa lebih yakin apa yang kita buat ini untuk membantu penabungan masa depan anak mereka," kata Roslee.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Saguhati Kelahiran Anak Terengganu 2018 & ADAM50 di Dataran Bidara, Main Tent, Pekarangan Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus, hari ini.

Seramai 200 penerima sagu hati kelahiran anak Terengganu menerima kad SSPN-i pada majlis berkenaan.

Turut hadir, Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, Mohd Shafaruddin Mustaffa.

Roslee berkata, pihaknya akan meneruskan kempen sumbangan sebanyak RM100 setiap kelahiran anak pertama hingga keenam, RM200 bagi anak  ketujuh, RM300 bagi anak kelapan, RM400 bagi anak kesembilan dan RM500 bagi kelahiran seterusnya dengan menyalurkan sumbangan itu menerusi  SSPN-i.
SHARE

Author: verified_user

0 komen: